Nama pelakon dan penyanyi, Nur Fazura kekal menjadi topik perbincangan hangat susulan penularan rakaman nyanyiannya dalam satu program temubual di Indonesia yang dikatakan sumbang.
Rakaman tersebut bukan sahaja mengundang kecaman dari orang ramai malah turut mencuri perhatian seorang guru vokal yang tampil berkongsi pendapat berhubung kemahiran nyanyian Fazura.
Berdasarkan satu hantaran video di platform TikTok, guru vokal dikenali sebagai Adzrin Adzhar itu berkata bahawa bukan semua orang yang boleh ‘menyanyi’ layak bergelar penyanyi.
Guru vokal terbabit turut menegaskan bahawa ilmu asas nyanyian terutamanya lontaran nada dan intonasi yang betul perlulah dikuasai terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang nyanyian.
“Semua orang boleh menyanyi tetapi bukan semua orang boleh menjadi penyanyi. Ada perkara atau kemahiran asas yang perlu dikuasai dahulu. Untuk menjadi penyanyi, kita kena tahu ilmu-ilmu asas nyanyian.
“Walaupun saya selalu kata teknik pernafasan itu penting, tetapi kita (penyanyi) kena ada jugalah persediaan yang cukup. Sekurang-kurangnya perlu menyanyi di dalam nada (yang betul).
“Kalau pernafasan tidak menyokong nyanyian itu pun tak mengapa. Kerana masih boleh belajar lagi. Tetapi kalau pernafasan baik namun intonasi tidak betul, bahaya juga,” katanya dalam perkongsian itu.
Menerusi perkongsian yang sama, Adzrin Adzhar turut memberi beberapa cadangan kepada pihak pengurusan Fazura agar pelantun lagu ‘Bertahan Demi Cinta’ itu boleh menyanyi dengan baik dalam sesi siaran langsung.
Adzrin menjelaskan bahawa cadangan tersebut termasuk penguasaan di dalam kemahiran asas menyanyi seperti pemahaman not muzik, intonasi suara dan nada nyanyian yang betul.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu membuat kemunculan pertamanya selepas hampir sebulan bercerai dengan bekas suami, Fattah Amin dalam sebuah program temu bual di Indonesia.
Penyanyi berusia 40 tahun itu juga berkesempatan untuk menyumbangkan nyanyian lagu yang berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’ dipercayai di dalam rangka mempromosikan karya terbaharunya di negara tersebut.
Walau bagaimanapun, persembahan itu tidak mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna media sosial tempatan yang mengkritik nyanyian Fazura ekoran vokal penyanyi terbabit didakwa kurang baik.
Peminat sebelum ini dikejutkan dengan pelancaran lagu duet baharu nyanyian Fazura dan Fattah Amin ketika kes penceraian mereka masih menjadi topik perbincangan hangat pada bulan lalu.
Lagu yang mendapat sentuhan komposer tempatan iaitu Ippo Hafiz itu dikhabarkan sudah lama dirakamkan ketika kedua-dua pelakon berkenaan masih bergelar pasangan suami isteri.
Pelancaran lagu baharu tersebut diumumkan oleh pihak syarikat rakaman daripada Indonesia menerusi satu hantaran di akaun media sosial Instagram rasmi mereka, @hits_records.
Baca juga: Arif Aiman tersenarai di tangga kedua penjaring terbanyak kalahkan Ronaldo