Semua parti berhak bertanding PRN Sarawak, kata Mohamed Azmin

Semua parti berhak bertanding PRN Sarawak, kata Mohamed Azmin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semua parti berhak untuk bertanding dan melebarkan sayap kuasa di Sarawak kerana negeri bumi kenyalang itu adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sudah menjadi tanggungjawab parti politik peringkat nasional bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tanpa perlu dihalang bahkan mereka sudah bertanding sejak awal lagi.

“Sarawak sebahagian daripada Malaysia. Pembentukan Malaysia itu adalah di atas persetujuan Sarawak.

“Sebagai parti yang bersifat nasional memang menjadi tanggungjawab kita untuk bersama (bertanding) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Itu bukan perkara baru sebab kita sudah sertai sejak awal lagi bahkan kita menang beberapa kerusi di DUN Sarawak,” kata Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dipetik dari portal Selangorkini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang meminta parti semenanjung tidak melebarkan sayap ke negeri itu.

Jelas Mohamed Azmin, PKR sudah lama bersedia menghadapi PRN Sarawak dan hanya menunggu pengumuman tarikh.

Adenan dalam ucapan tahun baru membayangkan PRN bakal diadakan pada Mac susulan ucapannya yang meminta rakyat Sarawak pula menunaikan janji kepada kerajaan ‘dalam masa tiga bulan lagi’.

Dalam perkembangan sama Malaysia Dateline juga melaporkan kenyataan Timbalan Presiden  Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Teresa Kok yang juga menetapkan pendirian parti masing-masing di bawah Pakatan Harapan akan terus meletakkan calon mereka untuk PRN Sarawak.

Sebelum itu Pesuruhjaya PAS Sarawak juga mempunyai pendirian sama untuk meletakkan calon PAS walaupun Ketua Menteri tidak mengharapkan parti Semenanjung bertanding dalam PRN Sarawak.

TAGS