Malaysia Dateline

Semua pasti rugi jika termakan tohmahan, adu domba

AMANAH Selangor menasihatkan kepada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar tidak termakan dengan hasutan pihak yang selama ini mencemburui kesepakatan gabungan itu.

Pengerusinya, Izham Hashim berkata, kerukunan dan kerjasama pimpinan dan ahli PKR, AMANAH dan DAP perlu dipelihara kerana PH mempunyai agenda besar membangunkan rakyat dan negara yang belum selesai.

“Terbukti selama ini perpaduan kita amat ampuh dan efektif dalam memperjuangkan dan memartabatkan maruah rakyat dan negara, dan ini menjadi igauan dan cemburu musuh-musuh politik kita.

“Percayalah jika kita tunduk kepada tohmahan dan adu domba mereka serta berpecah belah sesama kita, kelak semua pasti rugi,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Izham menyeru agar isu-isu yang menjadi perselisihan sesama parti komponen PH diselesaikan secara dalaman.

Beliau juga berharap agar pimpinan dan ahli ketiga-tiga parti bersikap saling menghormati dan berlapang dada serta menjauhi gejala fitnah dan mencela antara satu sama lain.

“Insya-Allah, saya yakin jika kita amalkan dengan penuh displin dan bertanggungjawab, kita bukan saja akan mengekalkan pentadbiran di negeri-negeri yang ada sekarang, malah akan dapat mengambil semula pentadbiran negara Malaysia tercinta kelak,” tambahnya lagi.