Semua pemimpin Melayu dalam parti perlu martabatkan Akta 355

Semua pemimpin Melayu dalam parti perlu martabatkan Akta 355

Kejayaan Pas membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian Pindaan Mahkamah Syariah (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam, adalah kemenangan untuk pemimpin parti Melayu dan umat Islam di negara ini, kata Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Hassan BasriKejayaan Pas membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian Pindaan Mahkamah Syariah (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam, adalah kemenangan untuk pemimpin parti Melayu dan umat Islam di negara ini, kata Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Perkasa juga menegaskan dalam suasana Islam kini diancam dengan wujudnya pelbagai kelompok fahaman tentang agama yang songsang dengan memberi laluan kearah pembentangan usul tersebut, ia dilihat selari dengan apa yang diperjuangkan NGO ini.

“Sebagai NGO yang mendominasikan perjuangan Melayu dan Islam mengucapkan tahniah kepada Pas yang telah berjaya membentang RUU persendirian Pindaan Mahkamah Syariah (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam.

“Dalam masa yang sama Perkasa berterima kasih kepada kerajaan yang memberi laluan untuk Pas membentangkan RUU itu setelah beberapa kali tertangguh,” ujar Hassan Basri, Ketua Penerangan Perkasa hari ini.

Dalam kenyataannya  Hassan berkata, bagi pemimpin parti perlu bekerjas keras untuk memberikan kefahaman kepada rakan komponen mereka dalam BN dan pakatan pembangkang untuk memahami Akta 355 ini.

“Sesungguhnya usaha memertabatkan Mahkamah Syariah yang sebelum ini terikat dan terbatas dengan had hukuman 356 (3 tahun penjara, 5 ribu ringgit dan 6 sebatan) untuk ditambahbaik.

“Perkasa menyokong penuh dan berada dibelakang Pas dalam usaha meminda RUU ini dan sentiasa mendokong Islam agama persekutuan selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

” Justeru itu, Perkasa suka mengingatkan kepada penentang pindaan ini khusus parti-parti bukan Islam baik dari kerajaan seperti MCA, MIC, SUPP dan sebagainya mahu pun pembangkang terutama DAP dan sekutunya supaya memahami bahawa pindaan RUU Akta 355 Mahkamah Syariah hanya dikhususkan untuk pelaku jenayah umat Islam sahaja.

“Sudah tentunya tidak timbul persoalan dikalangan pemimpin parti dan masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Apa perlunya mereka hendak menjadi juara untuk menentang sesuatu yang tidak bersangkut paut dengan kepercayaan, bangsa dan agama mereka kecuali mereka ada agenda jahat untuk mengkesamping perlembagaan islam sebagai agama persekutuan.

“Perkasa menyeru dan mengajak umat Islam untuk kita bersatu mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan dengan merentasi sempadan fahaman politik dan ideologi.” ujarnya.

Akhirnya terpancar senyuman di wajah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berpeluang membentangkan usul RUU Akta 355 semalam di Dewan Rakyat. -Foto MD oleh Wan Zahari Wan Salleh.Semalam Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Presiden Pas, membentangkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.

Usul ini merupakan kali keempat sejak tahun lalu usul serupa berada dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, namun masih belum berkesempatan untuk dibahaskan.

Abdul Hadi ketika membentangkan usul itu berkata ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Beliau berkata ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah peraturan mesyuarat 15 (5).

TAGS