Malaysia Dateline

Semua pemimpin PH sokong kempen Tamat Darurat

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad menyatakan semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menghadiri mesyuarat Majlis Presiden petang tadi menyatakan sokongan terhadap kempen Tamat Darurat.

“Semoga rakyat bersama dalam usaha merayu YDPA (Yang di-Pertuan Agong) untuk tamatkan darurat dengan seberapa segera,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH menegaskan darurat yang diisytihar pada 12 Januari lalu adalah demi kepentingan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, kerajaan Muhyiddin Yassin berkata, darurat yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini sebagai langkah membendung pandemik Covid-19.

Laman sesawang #TamatDarurat dilancarkan oleh Jawatan Kuasa Penamatan Proklamasi Darurat pada 12 Mac lalu sebagai kempen untuk memudahkan pihak yang mahu darurat ditamatkan lebih awal dengan menandatangani petisyen secara atas talian.

Jawatankuasa itu berperanan untuk mengumpul tandatangan daripada orang ramai dijangka sehingga Ramadhan pada 13 April ini sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain dianggotai ahli politik pembangkang jawatankuasa itu turut dianggotai sekumpulan profesional dan aktivis iaitu Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang; Datuk Seri Ustadz Abdul Ghani Samsudin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Jefri Md. Nor; Norman Goh; Khairi Zulfadhli; Mior Nor Haidir Mutalib Uthman; V. Raidu; Siti Rahayu Baharin; Muhammad Rafique; Tharmelinggem Pillai dan Dr. Thanussha Francis Xavier.

Setakat jam 10 malam tadi, 14,624 orang sudah menandatangani rayuan di laman tamatdarurat.com agar pengisytiharan darurat ditarik balik.