Malaysia Dateline

Semua pemimpin PKR diingatkan hadir program parti

Kepemimpinan tertinggi PKR boleh mengambil tindakan lanjut jika masih ada pemimpin-pemimpin tertentu tidak hadir ke acara yang dilangsungkan parti, tegas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, semua pemimpin parti itu diingatkan supaya hadir dalam segala acara yang dilangsungkan parti khususnya mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi membolehkan segala pelarasan dasar serta keputusan terbaik dapat dilakukan.

“Semua pemimpin telah diingatkan untuk hadir dan memberi keutamaan kepada mesyuarat ini.

“Hal ini supaya kita boleh sebagai satu parti menyelaraskan segala dasar dan keputusan yang diambil dengan lebih baik,” katanya mengulas ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan hari ini di ibu pejabat PKR.

Minggu lalu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak hadir pada sesi pemukiman PKR di Port Dickson sekali gus menyerlahkan krisis antara Azmin dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin memuncak.