Malaysia Dateline

Tan Sri Lee Lam Thye

Semua peringkat perlu bekerjasama hadapi Covid-19, kata Lee Lam Thye

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerjasama semua peringkat dalam masyarakat sangat diperlukan bagi menghadapi krisis Covid-19.

Kata beliau, kerajaan tidak mempunyai monopoli terhadap keselamatan dan kesihatan awam, ia adalah milik masyarakat.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah kerjasama daripada semua peringkat masyarakat supaya kita dapat mengatasi krisis ini dan menuju ke arah Malaysia yang lebih selamat dan sihat,” kata beliau dipetik daripada laporan Star Online.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Lee berkata, tugas paling utama dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini ialah untuk memberikan kefahaman yang tepat kepada masyarakat supaya ia dapat menepis berita-berita palsu yang boleh menggagal usaha Kementerian Kesihatan.

Pada masa sama kata beliau, rangsangan kewangan diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan krisis ekonomi disebabkan pandemik ini.

Tambah beliau, penyelesaian terhadap kesan akibat Covid-19 ini perlu dilakukan segera melalui pendidikan secara intensif dan program-program kesedaran bagi menggerakkan keseluruhan masyarakat mengatasinya.

Beliau percaya bahawa Malaysia mempunyai pengalaman dan kepakaran yang sesuai untuk menangani krisis Covid-19 ini.