Malaysia Dateline

Istana Negara

Semua pihak harus hormati Kedaulatan undang-undang, Raja berperlembagaan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, kerajaan dilantik secara sah oleh rakyat harus diberi peluang untuk mentadbir urus negara apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih dalam proses pemulihan dan juga reformasi-reformasi institusi yang masih dalam proses.

Beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak cuba mengambil kesempatan di dalam isu teguran oleh pihak Istana terhadap pentadbiran kerajaan.

“Teguran yang dibuat secara terbuka sedikit sebanyak boleh mengundang polemik khususnya apabila ia dilihat melangkaui sempadan perundangan yang telahpun digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Sany Hamzan

“Pemuda AMANAH Nasional memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan cubaan mewujudkan pergeseran di antara pihak kerajaan dan pihak istana.

“Cubaan untuk mewujudkan polemik yang tidak baik perlu ditolak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa isu terkini membabitkan perbezaan pandangan antara kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dengan pihak istana Johor berkaitan dengan pelantikan Menteri Besar dan barisan baharu exco Johor.

Selain isu Statut Rome yang menjadi agenda utama kepada Umno dan Pas serta beberapa pihak membabitkan NGO dan profesional yang mempersoalkan kuasa Raja-raja, walaupun Dr Mahathir telah menyatakan Statut Rom tidak akan diratifikasi.

Mohd Sany yang juga Adun Taman Templer berkata, setiap pihak haruslah sedar mengenai peranan serta tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan negeri-negeri serta undang-undang sediada.

“Sebarang ulasan serta kritikan yang ingin dilontarkan haruslah dibuat dalam suasana yang harmoni dan bukanlah dengan penuh kebencian hingga menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan anggota masyarakat.

“Konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di dalam negara menuntut semua pihak mematuhi sempadan kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan khususnya badan Eksekutif yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri yang dilantik secara sah oleh rakyat mempunyai hak untuk mentadbir negara mengikut acuan yang tersendiri. Keutuhan konsep Raja Berperlembagaan akan kekal dihormati apabila batas-batas ini tidak dilanggari.

“Pemuda AMANAH Nasional sekali lagi ingin menyeru semua pihak untuk menolak budaya politik melampau yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman demi meraih laba politik yang tidak berkesudahan,” tegasnya lagi.