Malaysia Dateline

Semua premis disenarai HIDE diarah tutup 3 hari serta-merta?

Semua premis yang disenaraikan oleh sistem Hotspot Identification For Dynamic Engagement (HIDE) akan diarahkan tutup selama tiga hari bermula serta-merta, kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri.

Perkara ini dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama malam tadi.

Namun begitu, pagi ini laporan Twitter itu sudah tidak ada lagi.

BernamaTV menerusi Twitternya pagi ini (jam 4.54 pagi) melaporkan bantahan tiga badan perniagaan yang meminta agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menangguhkan segera pengumuman HIDE itu sehingga asas yang jelas, tepat dan terperinci diperolehi.

“Kami percaya bahawa memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot’, cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniaga,” kata tiga persatuan perniagaan utama itu, lapor Bernama.

Laporan penutupan premis selama tiga hari ini bercanggah dengan SOP yang disenaraikan dalam HIDE sendiri yang menyatakan ia bertujuan untuk memberikan amaran sahaja.

“Perkongsian senarai lokasi ini bertujuan untuk membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19,” kata kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin ketika mengumumkan tentang HIDE semalam.

Selain itu, katanya, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premsi masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan Covid-19.

Dengan keputusan yang dibuat Ismail Sabri itu bermakna, hampir kesemua pasaraya utama di seluruh negara akan ditutup selama tiga hari mulai hari ini.

Antaranya, Mid Valley Megamal, Suria KLCC,  IOI Mall, Intermark Mall, Melawati Mall, hampir semua AEON Mall, NU Sentral Shopping Mall, Brem Mall, Pavilion Kuala Lumpur, Sungei Wang dan lain-lain lagi.

Selain pusat beli-belah, masjid turut tersenarai dalam sistem HIDE semalam antaranya, Masjid Jamek Kampung Bharu dan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Bangsar.