Malaysia Dateline

Semua rakyat perlu bersatu perangi penunggang agama dan kaum

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru semua rakyat di negara ini supaya bersatu memerangi penunggang agama dan kaum kerana ia berpotensi menjadi musuh utama negara ekoran amalan mengapikan perkauman dan budaya agama yang sempit. 

Kata beliau, episod ketidakstabilan pasca Sheraton menginsafkan rakyat Malaysia betapa kepimpinan negara bukan pertaruhan politik untuk menggapai cita-cita peribadi, tetapi kepimpinan negara adalah amanah yang perlu dijaga dan dipelihara. 

Tegas beliau, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 merupakan himpunan perasaan walaupun keputusan PRU tidak berpihak kepada mana-mana blok yang memperolehi undi majoriti. 

Walau bagaimanapun, pembentukan kerajaan yang dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan membuktikan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil. 

“Cabaran terkini kepada Anwar sebagai sosok tubuh yang mewakili harapan rakyat adalah memberi keyakinan dan mampu menyampaikan hasrat ini melalui pasukan kepimpinan beliau dalam kalangan anggota Kabinet yang bakal dibentuk. 

“Selain itu cabaran awal ialah bagaimana Kabinet bersaiz kecil mampu memberi impak tinggi serta ahlinya yang terdiri dari pelbagai ideologi politik. 

“Bagi pendokong dan penyokong Pakatan Harapan (PH), kesediaan mereka mengharungi berbagai eksperimen politik sejak 1999 kini memerlukan satu acuan baru negara yang cuba menyatukan semua pihak.

“Sifat reformis PH sejak Pakatan Rakyat lagi sememangnya memperjuangkan inklusiviti untuk mendokong cita-cita PH melawan rasuah dan mempromosikan integriti,” ujar beliau melalui pautan di Facebook.

Tambah Mujahid, kini sudah tiba masanya untuk mengukuhkan retorik kesatuan dan perpaduan berlandaskan kepada cita-cita membangunkan negara tanpa berkompromi dengan perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

Kegiatan ekonomi yang bebas rasuah dan mempromosikan integriti akan merancakkan pelaburan dan mengurangkan kos melaksanakan projek rakyat tanpa perlu bimbang isu ketirisan lagi. 

Katanya, cabaran seterusnya ialah bagaimana menyuburkan demokrasi yang matang di mana sebarang persaingan mestilah sifatnya objektif dan berpandukan kepada kritikan dasar.

Manakala saki-baki peninggalan kempen PRU ke-15 yang berbaur fitnah, kebencian dan permusuhan kaum serta agama perlu dihentikan. 

Ujar beliau lagi, sentimen ini harus ditangani dan tidak membiarkan mana-mana pihak menyuburkan taktik kotor sedemikian untuk tujuan politik sempit pasca PRU serta budaya kempen dengan membeli pengundi perlu dibanteras.

Mana-mana pihak terlibat seharusnya didakwa dan diadili dengan segera.