Malaysia Dateline

Semua rungutan pemilihan PKR harus disiasat, kata Anwar

Semua rungutan mengenai pemilihan PKR harus disiasat, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata banyak masalah yang dibangkitkan dan ia haruslah disiasat secara telus.

“Saya tengok media, dua-dua pihak buat tuduhan tentang peraturan dan salah guna tablet. Kita ada berpuluh-puluh (rungutan), jadi kalau tanya saya, semua aduan, kita siasat semualah. Kita sentiasa telus.

“Yang pentingnya proses itu kena jalan teruslah tak boleh tangguh lagi tapi saya tahulah kelemahan sistem itu dan memang diakui dari awal,” katanya pada pemberita di lobi Parlimen hari ini lapor Bernama.

Anwar turut menegaskan beliau telah membuat kenyataan berulang kali mengenai sistem pemilihan kali ini.

“Saya tidak pertikai Jawantankuasa Pemilihan Parti (JPP) cuma pergi sampai Hulu Rejang orang nak guna tablet, masalah besarlah. Memang banyak keresahan kerana dianggap tidak telus dan undi ragu pun banyak. Banyak masalah, saya akui.

“Bagaimanapun saya punya pendapat, kita kena ikut proses dan parti kena jalan. Yang menang dan yang kalah itu biasa dalam proses demokrasi. Yang tak puas hati, ada proses boleh dibangkitkan dan keseluruhan ratusan rugutan kita harus teliti.

Tambah Anwar, biar Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara berkenaan jika rungutan tersebut dibawa hingga ke pihak mereka.

“Biarkan mereka teruskan kerja mereka. Tapi parti tak boleh tangguh lagi. Ini perkara yang saya hendak tekankan,” katanya.