Malaysia Dateline

Semua yang lawan 1MDB terpelanting

Seorang demi seorang individu termasuk tokoh kewangan yang sebelum ini lantang bersuara mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilihat terpelanting dikerjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun PN dikatakan sebagai kerajaan pro Melayu dan Islam tetapi teknokrat Melayu yang berkaliber dan berintegriti tidak terkecuali untuk disingkirkan.

Terbaharu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang dikenali sanggup meletak jawatan selaku Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kerana enggan bersubahat dengan kecurangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Bakke berbuat demikian selepas pengurusannya membenarkan AS$700 juta dialihkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikuasai ahli perniagaan, Low Taek Jho pada 2009.

Kerajaan PN dilapor meminta Bakke meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Lapor The Straits Times, Bakke diminta mengosongkan jawatannya yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 31 Julai 2018.

Menurut laporan itu, langkah tersebut dan beberapa lagi usaha dilakukan kerajaan PN bertujuan menjaga hati para penyokongnya.

“Mereka perlu memenangi hati penyokong dari pelbagai kumpulan politik yang puak mereka tidak diberikan jawatan menteri,” katanya.

Bakke juga bekas timbalan pengerusi eksekutif dan pengarah urusan Sime Darby Plantations Bhd, mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak sawit, berdasarkan pembabitannya dalam beberapa syarikat perladangan, termasuk presiden dan ketua eksekutif kumpulan Sime Darby.

Memetik Malaysiakini, kerajaan PN turut melantik Mohammed Azlan Hashim dalam Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Azlan merupakan sebahagian daripada panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang mengesyorkan kelulusan RM4 bilion pinjaman kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada 2011 dan 2012, yang kemudian didakwa disalahguna.

Laporan yang memetik sumber itu juga berkata, Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Nungsari Ahmad Radhi diberitahu untuk meninggalkan badan pemikir berkenaan yang dibiayai oleh Khazanah.

Ini selepas beliau menulis surat terbuka bersama ahli-ahli ekonomi lain bagi menggesa tindakan tegas kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Menurut laporan itu, Nungsari dijangka akan digantikan oleh bekas Menteri Kewangan, Nor Mohamed Yakcop.

Kerajaan PN juga telah menamatkan khidmat pengerusi Mara, Hasnita Hashim dan profesional lain.

Hasnita merupakan Pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga Kumpulan Maybank.

Ahli-ahli majlis Mara yang turut digugurkan ialah Jamelah Jamaluddin, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Nungsari Ahmad Radhi, Ameer Ali Mydin, Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Zakri Mohd Khir dan Ahmad Baslan Che Kassim.