Ayam pencen atau ayam tua memiliki rasa yang sangat membangkit selera sekiranya dimasak rendang, masak lemak, kari dan juga sup.
Walau bagaimanapun, tidak ramai suri rumah meskipun tukang masak gemar untuk menggunakan ayam pencen memandangkan isinya yang liat dan sukar dilembutkan.
Masalah ini mungkin tidak rumit dari sudut pandangan tukang masak handal, namun ia semestinya memberi sedikit tekanan untuk mereka yang baru belajar memasak.
Jangan khuatir, berikut kami kongsikan sebanyak sembilan petua mudah untuk melembutkan isi ayam pencen berdasarkan satu hantaran di laman web Resepi Bonda.
1. Lada hitam dan halia
Tumbukkan setengah sudu teh lada hitam bersama dengan sedikit halia. Kemudian, masukkan bahan tersebut ke dalam periuk bersama ayam tua dan air untuk direbus.
Rebus sehingga ayam pencen itu lembut. Selepas itu keluarkan ayam sebelum dicuci bersih dan boleh dilumurkan dengan tepung beras jika anda mahu menggorengnya.
2. Tempurung kelapa
Berikut adalah antara cara mudah bagi melembutkan isi di mana anda hanya perlu masukkan beberapa keping tempurung kelapa ke dalam periuk saat merebus ayam.
3. Tebu
Masukkan seruas tebu ke dalam periuk ketika merebus atau memasak ayam pencen.
4. Biji selasih
Sediakan satu sudu besar biji selasih sebelum bungkuskannya dengan menggunakan kain kasa. Kemudian, masukkan kain itu ke dalam periuk ketika memasak ayam tua.
5. Daun pisang abu
Mula-mula, carikkkan daun pisang abu terlebih dahulu sebelum anda masukkannya ke dalam periuk ketika sedang merebus atau memasak hidangan ayam pencen.
6. Air kelapa
Potongkan ayam tua kepada beberapa bahagian terlebih dahulu. Kemudian bolehlah rebuskan ketulan yang sudah dipotong itu bersama air kelapa hingga isinya empuk.
Selepas itu, toskan air kelapa sebelum ayam tersebut boleh dimasak seperti biasa.
7. Pangkal daun nenas
Masukkan beberapa potongan pangkal daun nanas (warna kuning) ke dalam periuk ketika memasak ayam pencen. Daun boleh dikeluarkan apabila isi ayam telah empuk.
8. Buah nanas
Kisarkan sepotong buah nanas. Kemudian, lumurkan kepada ayam tua dan perapkan selama setengah jam terlebih dahulu. Lalu, bersihkan dan masak ayam seperti biasa.
9. Buah betik muda
Bagi melembutkan isi, ayam pencen juga boleh direbuskan dengan buah betik muda.
Selamat mencuba! Semoga salah satu daripada petua ini dapat membantu pembaca untuk menyediakan hidangan ayam pencen buat keluarga yang tersayang.
Baca juga: Mizz Nina akhirnya dedah cerita sebenar, Noh Hujan rupanya dah lama hilang hak ini