Senang rupanya buang kesan terbakar pada seterika, baru tahu boleh pakai soluble!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seterika yang dicemari dengan kesan terbakar selalunya tidak lagi digunakan kerana khuatir bakal menyebabkan pakaian rosak ataupun kotor.

Namun tahukah anda, kesan kekotoran akibat terbakar ini senang sahaja dihilangkan dengan menggunakan bahan atau barangan yang sudah berada di kediaman anda.

Mereka yang berdepan dengan situasi ini bolehlah mencuba dua kaedah mudah ini untuk menghilangkan segala kotoran melekat pada seterika sehingga licin berkilat.

1. Panadol Soluble

Siapa sangka selain boleh meredakan demam dan selesema, Panadol Soluble juga mampu membantu menghapuskan kesan hangus pada seterika dengan cepat.

Langkah pertama, anda perlu memanaskan seterika dan basahkan panadol dengan sedikit air. Kemudian, penadol tersebut bolehlah digosokkan pada kesan kekotoran.

Namun bagi mengelakkan daripada sebarang kecederaan, panadol perlu dipegang dengan alatan sesuai seperti gunting agar seterika panas tidak terkena pada tangan.

Lalu apabila tindak balas berlaku dan kesan kekotoran hitam dan terbakar di seterika mula tertanggal, permukaan peralatan elektrik itu bolehlah dilap menggunakan kain.

2. Garam

Bahan masakan yang mudah didapati seperti garam rupanya boleh juga membantu menghilangkan kekotoran pada seterika dengan barang bantuan iaitu surat khabar.

Caranya mudah sahaja iaitu sebelum seterika dipanaskan, mereka yang mengguna kaedah ini perlukan meletakkan sedikit garam di atas surat khabar terlebih dahulu.

Kemudian seterika bolehlah dipanaskan sebelum permukaannya digosokkan pada garam sehinggalah kekotoran hilang dan kembali berkilat seperti baru dibeli di kedai.

Baca juga: Geli papan pemotong hitam, sental je guna bahan di dapur terus bersih macam baru beli