Senarai calon PKR Selangor mungkin selesai hari ini

Senarai calon PKR Selangor mungkin selesai hari ini

Senarai calon PKR di Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk di lapan kawasan ‘panas’ dijangka paling awal akan dimuktamadkan hari ini.

Sumber memberitahu, antara kawasan Parlimen terlibat Hulu Langat (P101) dan Kapar (P109) manakala bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) pula di Ijok (N11), Rawang (N14), Gombak Setia (N17), Lembah Jaya (N20) dan Bukit Lanjan (N37).

Terdahulu, Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dikatakan telah menolak senarai lapan calon terbabit yang dikemukakan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara nama yang ditolak itu adalah Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Elizabeth Wong dan pegawai Azmin sendiri, Hilman Idham.

Bahkan, sumber memaklumkan kem Azmin bertindak memindahkan penyandang Parlimen Kuala Langat (P112), Abdullah Sani ke Parlimen Kapar (P109).

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar khabarnya dicadangkan oleh kem Azmin untuk bertanding di sebuah kerusi Parlimen.

Namun, Azmin yang juga Pengerusi PH Selangor menafikan beliau mengemukakan senarai calon pilihannya untuk PRU kali ini.

Semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin menemui Wan Azizah untuk membincangkan lebih lanjut mengenai cadangan mereka.

Zuraidah datang ingin menemui Wan Azizah di Segambut bersama segerombolan penyokong penyandang Parlimen Ampang itu.

Sumber bagaimanapun tidak menolak kemungkinan polemik pemilihan calon daripada kem Azmin itu akan berlanjutan sehingga hari penamaan calon.

Walaupun begitu, hanya watikah yang ditandatangani oleh Wan Azizah layak bertanding susulan persetujuan bersama komponen parti di bawah PH untuk menggunakan lambang PKR.

Pertembungan kem Azmin dan kem Wan Azizah menjelang penamaan calon yang semakin suntuk pada 28 April ini dilihat lanjutan daripada wujudnya dua kumpulan pimpinan PKR.

Kem Azmin yang tidak menyenangi AMANAH mahu terus berunding dengan Pas lantaran bimbang pertandingan tiga penjuru manakala kem Wan Azizah mahukan pengukuhan bersama rakan-rakan PH bagi menghadapi PRU-14.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada 27 Ogos 2017 melalui tulisannya, ‘Anggota KEADILAN Harus Pilih Melalui Kongres Khas’ telah menyenaraikan pimpinan daripada kedua-dua kem tersebut.

Terdapat 17 pimpinan PKR terdiri daripada Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, ahli-ahli Biro Politik dan ahli-ahli MPP berada di bawah kem Azmin.

Manakala kumpulan Wan Azizah terdiri daripada 22 pimpinan PKR termasuk Rafizi menolak rundingan bersama Pas yang di luar PH sebaliknya mahukan komitmen penuh kepada PH.

AMANAH, DAP selesai

Ketika PKR Selangor masih tegang berhubung pemilihan calon mereka, komponen PH iaitu AMANAH dan DAP sudah selesai mengesahkan calon masing-masing.

Semalam, AMANAH Selangor yang dilihat paling banyak berkorban telah mengesahkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen iaitu Kuala Selangor (P096), Hulu Langat (P101), Shah Alam (P108), Kota Raja (P111) dan Sepang (P113).

Terdapat 10 kerusi Dun akan ditandingi AMANAH iaitu Sabak (N02), Sungai Panjang (N03), Hulu Bernam (N05), Taman Templer (N15), Hulu Kelang (N18), Pandan Indah (N21), Sungai Ramal (N26), Seri Serdang (N29), Meru (N42) dan Morib (N53).

Sementara itu, DAP turut mengumumkan senarai calon mereka untuk bertanding di negeri yang dua penggal terlepas daripada genggaman BN itu.

DAP Selangor akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang iaitu P102 Bangi (sebelum ini Serdang), P103 Puchong, P106 Damansara (sebelum ini Petaling Jaya Utara) dan P110 Klang.

Bagi kawasan Dun, DAP Selangor muktamad untuk meletakkan calon mereka di 16 kerusi termasuk di kerusi yang sebelum itu menyaksikan AMANAH telah bekerja di peringkat akar umbi.

Enam daripada 16 kerusi itu adalah calon baharu iaitu Brian Lai (Teratai), Edry Faizal Yusof (Dusun Tua), Michelle Ng (Subang Jaya), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Tony Leong (Pandamaran).

Satu lagi komponen PH iaitu Bersatu akan mengumumkan senarai calon mereka dalam jangka masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas Selangor yang menentang PH sudah muktamad untuk bertanding di 20 daripada 22 kerusi Parlimen dan 47 daripada 56 Dun.

Pas bahkan nekad meletakkan calonnya termasuk di kerusi Parlimen Gombak (P098) yang disandang Azmin Ali.

Bukan sekadar di Selangor, keputusan Pas meletakkan calon di seluruh negara bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru paling kritikal sejak PRU pertama 1959.

Tindakan ‘degil’ Pas yang dilihat memberi tongkat kepada kemenangan BN itu mengundang risiko pemecahan undi Melayu terutama di kawasan majoriti kaum itu pasca persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Walau bagaimanapun, kemunculan Bersatu bersama PH dilihat banyak pihak bakal menyumbang daripada segi menarik pengundi Melayu yang sebelum ini setia kepada Umno.

5.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 2.5
CATEGORIES
TAGS