Malaysia Dateline

Senarai kabinet: Anuar mahu laporan kaitkan kenyataannya tidak tepat ditarik balik

Setiausaha Agung AMANAH Anuar Tahir mahu portal BH Online menarik balik laporan berkaitan kenyataannya yang didakwa kenyataan dilaporkan yang memetik namanya tidak tepat dan mengelirukan berkaitan pelantikan Naib Presiden AMANAH Dr Ahmad Termizi dalam barisan kabinet Pakatan Harapan (PH) yang tular di media sosialĀ  semalam.

“Saya meneliti laporan laman portal BH Online bertajuk “AMANAH persoal pemilihan Dr Ahmad Termizi” yang diterbitkan pada 26 Jun 2018.

“Saya mendapati laporan yang memetik nama saya itu adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan.

“Saya hanya ada mengeluarkan kenyataan umum dalam konteks merujuk kepada senarai tambahan ahli kabinet yang ditularkan dan ia belum muktamad selagi belum ada pengumuman rasmi dari Perdana Menteri.

“Laporan tersebut telah mendorong kepada satu tanggapan negatif kepada diri saya, AMANAH dan nama baik orang tententu.

“Sehuhungan itu saya berharap agar BH Online dapat menarik balik laporan tersebut agar kekeliruan yang berlaku ini dapat dirungkaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam portal BH Online telah melaporkan kenyataan Annuar yang dipetik berkata, walaupun senarai Kabinet baharu itu belum rasmi, keberadaan nama Ahmad Termizi itu boleh dipertikaikan.

Katanya, ini kerana Ahmad Termizi bukan Ahli Parlimen dan AMANAH masih mempunyai dua Naib Presiden yang layak untuk disenaraikan dalam Kabinet baharu itu.

Kenyataan Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu dibuat bagi mengulas senarai Kabinet baharu pimpinan Dr Mahathir yang tular di media sosial sejak Selasa.