Malaysia Dateline

Senarai ‘sulit’ cadangan calon Parlimen PRU-15 Perikatan Nasional bocor

Satu senarai yang didakwa cadangan calon Parlimen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tular membabitkan sembilan parti komponen gabungan politik itu.

Senarai sebanyak 13 halaman itu tertera perkataan ‘sulit’ di setiap muka surat dengan antara lain memberitahu rundingan agihan kerusi telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya yang dihadiri presiden daripada kesemua parti.

Hasil rundingan PN berkenaan pembahagian di 222 kerusi di peringkat Parlimen itu turut dikatakan telah mencapai kata sepakat sembilan parti.

Parti terbabit ialah Bersatu, Umno, Pas, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Menurut mukadimah senarai itu, kesemua parti dalam PN akan menggunakan logo yang bakal direka dalam masa terdekat manakala calon-calon PN bagi Sabah dan Sarawak akan menggunakan lambang lain.

Takiyuddin Hasan

 

Di KELANTAN, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan dicadangkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas bagi membolehkannya dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Penjelasan dalam senarai itu memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang bertukar kerusi ke Parlimen akan dilantik sebagai Menteri.

“Muafakat Nasional (MN) bersetuju untuk tidak bertanding di tiga kerusi Parlimen Ketereh, Tanah Merah dan Jeli bagi memberi laluan kepada Bersatu.

“Bersatu tidak akan bertanding di peringkat DUN Kelantan dan Datuk Sri Mustapa Mohamed akan memberi laluan kepada Pas di DUN Ayer Lanas,” dipetik dari keterangan dalam senarai itu.

Di PULAU PINANG, MCA dan MIC akan diberikan jawatan penting di peringkat Exco Kerajaan Negeri.

Kedua-dua rakan sekutu Umno sejak era BN itu dicadangkan akan mendapat jumlah paling banyak untuk jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Di KEDAH, Bersatu dan Muafakat Nasional serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dikatakan bersetuju untuk mencalonkan wakil Pas sebagai calon Menteri Besar Kedah.

Turut diberitahu pembahagian kerusi Parlimen telah dimuktamadkan dengan formula empat kerusi untuk Bersatu, Umno (5), Pas (4) manakala MIC dan MCA masing-masing satu kerusi.

“Semua wakil rakyat mesra Tun Mahathir digugurkan dan digantikan dengan muka baru,” kata senarai itu.

Ahmad Faizal Azumu

Di PERAK, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang didakwa bersetuju untuk melepaskan kerusi DUN pada calon muka baru.

“Beliau akan dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri,” kata senarai tersebut.

Sementara itu, calon Menteri Besar Perak yang bersifat “mesra istana” akan diberi pertimbangan selepas PRU-15.

Di SELANGOR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri untuk PN.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga dikatakan bakal dicalonkan untuk mengekalkan jawatannya selaku Menteri Kanan atau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I.

Bagi pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, senarai itu memberitahu Muafakat Nasional, MCA dan MIC bersetuju untuk memberi laluan kepada calon Bersatu.

Di NEGERI SEMBILAN, Tok Mat pemilik gelaran kepada Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Timbalan Presiden Umno disyorkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II.

Penjelasan dalam senarai itu memberitahu Umno akan bertanding di Port Dickson melalui calonnya Khairy Jamaluddin kerana dilihat mesra denga anggota tentera.

“Pas tidak akan bertanding di peringkat Parlimen di Negeri Sembilan dan akan diberikan kerusi yang selamat untuk menang di DUN Negeri Sembilan,” kata senarai itu.

Di MELAKA, Datuk Seri Redzuan Yusof yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri dicadangkan untuk dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Di JOHOR, Ahli Parlimen yang juga Ketua Cabang PKR Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dipindahkan ke DUN Bukit Gambir akan dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor baharu.

“Rundingan di peringkat negeri akan dibincangkan semula mengenai pengagihan kerusi.

“Datuk Seri Azalina Othman yang dipindahkan ke kerusi DUN akan dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor,” kata senarai itu.

Di PAHANG, MN dikatakan sepakat mencalonkan Datuk Seri Ismail Mohamed Said sebagai Menteri Besar Pahang yang berpindah ke kerusi DUN.

Sementara itu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail dicalonkan di peringkat Parlimen dan akan dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri Penuh.

Datuk Seri Najib Razak pula bersetuju untuk tidak bertanding dan akan dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri Pahang serta dikurniakan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong

Dilihat meneruskan legasi keturunan Tun Abdul Razak Hussein, anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda Umno Pekan dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri Penuh.

Di TERENGGANU, PN akan mencalonkan Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd Hamid sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Senarai itu turut menyebut MN bersetuju untuk memberi tiga kerusi DUN kepada Bersatu.

Mengulas senarai cadangan pembahagian kerusi Parlimen tersebut, ahli akademik menyifatkan tidak logik PN selesai berbuat demikian memandangkan usia penubuhan PN belum pun genap tiga bulan.

Bahkan, hanya malam ini dijadualkan mesyuarat pertama Perikatan Nasional (PN) secara formal melibatkan semua parti politik dalam gabungan yang menyaksikan Umno mempunyai Ahli Parlimen paling ramai itu.