Senario PRK Dun Semenyih selepas hari penamaan calon

Senario PRK Dun Semenyih selepas  hari penamaan calon

(BAHAGIAN 1)

Apakah peluang Pakatan Harapan (PH) dalam PRK N24 Semenyih? Berdasarkan perkembangan tingkah laku pengundi dan suasana kempen yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak PH dan Barisan Nasional (BN), poster yang dipacak sepanjang jalan daripada Pekan Semenyih hingga ke Baranang, nampaknya agak seimbang, kedua-dua pihak mendominasi perang poster di sekitar jalan-jalan utama.

PH nampaknya hampir menguasai perang poster di sekitar pekan Semenyih serta kawasan-kawasan perumahan di sekitar Semenyih, seumpama Taman Semenyih Impian, Taman Semenyih Indah, Taman Semenyih Mewah, Taman Semenyih Mewah Fasa 2, Taman Semenyih Permai, Taman Semenyih Ria, Taman Seri Haneco, Tiara East Residence, Setia Eco Majestic dan beberapa kawasan taman perumahan lain, secara keseluruhanya Dun Semenyih mempunyai 44 buah kawasan taman perumahan.

Berdasarkan perang poster di kawasan-kawasan taman perumahan ini, agak ketara dominasinya oleh PH. Bagaimana pun PH agak ketinggalan dalam persaingan perang poster di kawasan-kawasan perkampungan tradisi Melayu seperti Kampung Sungai Purun, Kampung Batu Tiga dan Rinching Hilir, umumnya terdapat 11 buah perkampungan tradisional Melayu di Semenyih.

Amat ketara penguasaan BN di kawasan-kawasan ini, berbanding dengan PH. Maklumat yang diperolehi menunjukkan PH agak sukar untuk menguasai pengundi di kawasan-kawasan perkampungan tradisional ini.

Walaupun penduduk kampung menyedari akan program-program sosio ekonomi dan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Salangor, memberikan impak dan faedah kepada rakyat Selangor umumnya dan penduduk setempat khasnya. Bahkan para penduduknya juga tidak menolak akan sumbangan yang telah diberikan oleh Azmin Ali, sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor.

Namun perkiraan mereka, akan terus “mengundi kerajaan lama.” Ini bermakna sentimen nostalgia itu memainkan peranan mencorakkan emosi mereka terhadap PH.

Keadaan ini tidak menghairankan memandangkan mereka ini “membesar dalam buaian” BN berpuluh tahun lamanya dan menutup pemikiran mereka daripada menerima hakikat yang wujud. Corak pemikiran sebegini hampir menyamai pola pemikiran masyarakat Melayu di awal kemerdekaan.

Perkataan seumpama, “baik panggil balik orang putih perintah,” “orang putih perintah pun negara aman juga,” antara ungkapan yang dizahirkan dalam kalangan sesetengah masyarakat Melayu berkaitan dengan bentuk pemerintahan Tanah Melayu sebelum bertukar menjadi Malaysia.

Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sesapan Kelubi, Kampung. Sungai Kembong Hilir, Kampung Rinching Hilir, Kampung Rinching Tengah dan kawasan perkampungan lain sekitar Beranang, merekodkan bahawa PH telah mengalami kekalahan hampir di setiap daerah mengundi dalam PRU 14.

Terdapat pusat daerah mengundi yang PH kalah dengan majoriti 1000 undi, di kawasan perkampungan tradisi ini. Bermakna pusat daerah mengundi di kawasan-kawasan kampung tradisi ini merupakan aset yang amat bernilai buat BN.