Malaysia Dateline

Senario PRK Semenyih menjelang hari pengundian

Bahagian 2

Baca: Bahagian 1

Jika sekiranya diandaikan bahawa perang poster, boleh dikatakan sebagai petunjuk kepada sokongan terhadap parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, maka dalam hal ini nampaknya Pakatan Harapan (PH) berada di hadapan, setakat tinjauan ini dibuat (21, 24 dan 26 Februari 2019), poster dan billboard (papan tanda besar) PH hampir menguasai seluruh jalan-jalan utama bermula dari pekan Semenyih hingga ke Beranang. Bagaimanapun tidak pula kelihatan billboard Barisan Nasional (BN) didirikan untuk memperjelas serta menyampaikan pesanan tema utama kempen mereka kepada pengundi.

Dalam aspek ini, PH agak terkehadapan. Di sekitar simpang empat berhampiran dengan kawasan perumahan Bandar Rinching dan kawasan perumahan Pelangi Semenyih, berdekatan Pasar Raya Tesco, terdapat dua buah billboard PH yang telah didirikan oleh petugas PH untuk menyemarakkan tema kempen PH dalam perang poster, bagi mempengaruhi persepsi para pengundi Semenyih. Berdasarkan kedudukan kedua-dua billboard yang strategik ini, secara moralnya PH telah dapat menguasai persaingan bagi mendapatkan perhatian serta pengaruh dalam kalangan pengundi.

Dalam PRK Semenyih ini, PH muncul dengan tema “Membina Negara Memenuhi Harapan,” manakala BN berslogankan “Bukti bukan Sekadar Janji,” di samping kain rentang yang tertulis perkataan “Barisan Nasional Hidup Rakyat,” dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) muncul dengan “Somonyih Tompek Kito.”

Sungguh pun demikian, bendera dan poster BN masih juga tidak ketinggalan mewarnai aktiviti berkempen di persekitaran kawasan jalan-jalan utama dan kawasan-kawasan perumahan, boleh dikatakan dicelah-celah bendera dan poster PH, terselit bendera dan poster BN, juga tidak dikesampingkan akan kibaran bendera “tangan tergenggam” PSM. Terdapat juga kawasan yang mana bilangan bendera dan poster BN hampir menenggelami bendera dan poster PH, seperti kawasan sekitar persimpangan masuk ke Kampung Sesapan Kelubi.

Penguasaan bendera dan poster PH paling ketara di persekitaran Kampung Baru Cina, bermula dari jalan 10 untuk masuk ke kawasan Kampung Baru Cina, hingga ke kawasan persekitaran pasar Cina dan sekeliling kawasan kampung Baru Cina, kelibat bendera dan poster BN nampaknya seolah-oleh hilang daripada perhatian masyarakat setempat, Cuma terdapat sedikit celahan daripada bendera dan poster PSM.

Meneliti billboard yang didirikan petugas PH tersebut, tertera akan perkataan, HARAPAN – Inilah Selangor; Kita Bukan Pencuri, Kita Bukan Pembohong, Kita Bukan Perompak, billboard ini didirikan berhampiran dengan kawasan perumahan Bandar Rincing Menghala ke Selatan.

Manakala satu lagi billboard tertera perkataan PAKATAN HARAPAN; Pimpinan Harapan, Gandingan Gemilang Tua dan Muda, Pemangkin Masa Depan Bersama. Memaparkan gambar Amirudin Shari, Pengerusi PH Selangor, bersama calon PH, Muhammad Aiman Zainali di sebelah kiri. Manakala gambar Dr. Mahathir Mohamad, sebagai Pengerusi PH, bersama Dr. Xavier Jayakumar di sebelah kanan.

Persoalannya mengapa gambar Dr. Xavier Jayakumar yang diletakkan dan digandingkan bersama gambar Dr. Mahathir Mohamad, mengapa tidak diletakkan gambar Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR, juga Ahli Majlis Presiden PH untuk diganding dengan Dr. Mahathir Mohamad?

Meski pun terdapat empat calon yang bertanding dalam PRK Semenyih, namun calon Bebas dan calon PSM agak tenggelam berbanding dengan calon daripada BN dan PH. Meskipun bendera PSM terpacak di beberapa kawasan namun ia bukanlah saingan kepada BN dan PH, apa lagi Bebas, seolah-olah hilang daripada radar persaingan.

Agak sukar untuk calon PSM dan calon Bebas untuk melakar kejutan atau mencipta sejarah dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih. Secara keseluruhannya bendera dan poster PSM, boleh dikatakan terpacak dan berkibar sekitar pekan Semenyih dan beberapa kawasan sekitar jalan besar Kampung Rincing Hilir menghala ke Pekan Semenyih.

Maka persaingan sebenar adalah antara BN dan PH, bilik-bilik gerakan dan pondok-pondok operasi yang terletak di sekitar kawasan perumahan, kampung tradisi Melayu dan di jalan-jalan utama banyak didominasi oleh BN dan PH. Bagaimana pun di kawasan-kawasan utama penempatan Cina, agak ketara akan unsur dominasi mutlak oleh PH.

Dalam hal ini terdapat beberapa tempat nampaknya petugas-petugas PH begitu setia menunggu bilik gerakan seperti bilik gerakan di Batu 14 dan juga di Beranang, bagi pihak BN agak kosong, mungkin para petugas BN lebih berfokus mengatur strategi dan gerak kerja pada waktu malam. Sungguh pun demikian, pemerhatian pada hari Ahad (24 Februari 2019), bilik-bilik gerakan dan pondok-pondok operasi BN, kelihatannya agak meriah dengan para petugas.

Berdasarkan temu bual dengan beberapa orang pengundi (ada yang mengaku bahawa mereka tidak terlibat dengan politik dan tidak menyokong mana-mana parti politik), walaupun berhadapan dengan tentangan sengit daripada BN, namun PH masih mempunyai harapan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih. Sungguh pun begitu, PH akan berhadapan dengan pemalingan undi daripada pengundi-pengundi yang sebelum ini mengundi PH pada PRU 14.

Sekiranya, PH berupaya menggunakan strategi yang berkesan untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi yang mempunyai kecenderungan pemalingan undi ini, pastinya jumlah pemalingan undi ini dapat dikurangkan, tentunya ia akan dapat menarik kembali undi daripada mereka yang berkecenderungan untuk memalingkan undi ini, bagi mengundi PH kembali.

Keadaan ini berkemungkinan berpunca daripada beberapa isu berhubung dengan aspek kepentingan Melayu dan Islam, walau pun ini adalah merupakan PRK dan terbatas kepada real politik berskala lingkungan setempat yang sepatutnya lebih tertumpu kepada isu-isu lokaliti, namun hakikatnya isu berkaitan Melayu dan Islam, masih tetap diperkatakan dan dihujahkan oleh Pas dan Umno.

Terdapat persepsi dalam kalangan pengundi yang beranggapan bahawa PH tidak begitu memberikan perhatian terhadap usaha membela bangsa Melayu dan Islam. Ini bermakna bahawa Pasdan Umno hampir berjaya mempengaruhi pengundi dengan menjadikan isu berkaitan dengan kepentingan Melayu serta keadaan yang dikatakan peminggiran PH terhadap Islam, digunakan sebagai isu untuk menjarakkan sokongan masyarakat Melayu terhadap PH.

Secara umumnya para pengundi belum memperlihatkan pendirian yang jelas terhadap PH, tidak pula menunjukkan kecenderungan yang tinggi terhadap BN. Terdapat pula dalam kalangan pengundi yang tidak begitu mengambil peduli akan suasana politik dan PRK Semenyih, namun kecenderungan mereka, mengundi adalah satu kewajipan. Pastinya sukar untuk menentukan siapa pilihan mereka, meski pun mereka hakikatnya telah pun mempunyai pilihan.

Perkembangan yang berlaku ini akan menjadikan kempen parti-parti politik akan berlangsung dalam suasana yang lebih kritikal, hangat dan agresif pada detik-detik terakhir menjelang hari mengundi. Parti yang mempunyai idea dan strategi yang betul, tepat dan berfokuskan sasaran dalam mempengaruhi persepsi pengundi, tentunya akan memberikan kelebihan untuk menguasai peti undi, seterusnya mencatat kemenangan dalam PRK Semenyih pada 2 Mac 2019 nanti.

Apakah BN akan menawan kembali kerusi Dun Semenyih setelah terlepas pada PRU 14 lalu? Atau sebaliknya terus kekal dalam penguasaan PH? Hanya pengundi Dun Semenyih yang akan menjadi penentunya.

Penulis adalah Pensyarah diFakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris