Senario terharu dengan sokongan peminat, serah trofi ‘Artis Komedi Popular’ kepada waris arwah Hamdan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kumpulan pelawak terkenal, Senario bersepakat menyerahkan trofi yang dimenangi mereka pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 kepada keluarga rakan seperjuangan mereka iaitu Allahyarham Hamdan.

Anggota kumpulan berkenaan iaitu Saiful Apek memberitahu bahawa mereka sudah menyimpan niat untuk menyerahkan trofi Artis Komedi Popular itu kepada keluarga Allahyarham sebelum anugerah itu dirangkul lagi.

Pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff itu berkongsi perkara tersebut dalam sidang media di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Jumaat, lapor Oh Bulan

“Saya memang sudah dapat agak trofi akan dapat satu sahaja. Jadi dengan persetujuan sahabat lain, kami nak hadiahkan trofi kepada waris Allahyarham Hamdan,” katanya memetik laporan Oh Bulan.

Seorang lagi anggota Senario iaitu Azlee mengakui tidak menyangka kumpulannya akan merangkul anugerah kerana perlu bersaing dengan empat calon hebat iaitu Bell Ngasri, Jep Sepahtu, Joey Daud dan Sabri Yunus.

Menurut Azlee, trofi itu berjaya dimenangi kumpulannya berkat doa dan undian peminat selain turut menganggap kemenangan tersebut adalah bukti bahawa Senario masih relevan sehingga kini.

“Atas berkat kerja keras Senario, walaupun kami tak ada di kaca televisyen dan hanya bergerak dengan konsert dan beberapa program lain. Tetapi Alhamdulillah, dengan adanya sosial media Senario semakin dikenali semula.

“Alhamdulillah, dengan berkat doa semua dan undian peminat Senario yang masih sayang dengan Senario, kami akhirnya ada di ABPBH dan Allah izinkan kami pegang trofi untuk Artis Komedi Popular.

“Kami rasa amat terharu dan ini membuktikan Senario masih aktif dan relevan,” akui Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar dalam sesi sidang media berkenaan.

Senario merupakan kumpulan komedi yang mula meraih populariti sejak tahun 90-an yang dianggotai beberapa pelawak terkenal iaitu Apek, Azlee, Yasin, Lan Pet Pet, Wahid, Pok Ya dan Allahyarham Hamdan.

Sekadar info, Hamdan atau nama sebenarnya, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 Januari lalu di usia 55 tahun akibat jangkitan kuman dalam darah.

Baca juga: Terkenal lepas jadi pelakon suara untuk ‘Doraemon’, Nobuyo Oyama meninggal dunia di usia 90 tahun