Senator AMANAH sertai protes bantah gaji minimum RM1,050

Aiman Athirah bersama antara lebih 100 peserta #Bantah1050 di Jalan Parlimen.

Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Senator Aiman Athirah Al-Jundi antara lebih 100 peserta yang berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen semalam.

“Selepas 7 Mei 2008, 10 tahun perjuangan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) menuntut gaji minima RM1,200 sebulan untuk pekerja-pekerja swasta.

“Perjuangan rakyat adalah perjuangan semua dan untuk semua,” katanya dipetik dari Facebook beliau.

Penyertaan Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH yang juga pemimpin Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) itu turut dihargai aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan.

Bekas Setiausaha Agung PSM berkenaan juga memberitahu tentang sokongan terbuka segelintir Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terhadap tuntutan mereka agar gaji minimum pekerja ditetapkan pada kadar lebih relevan.

“Yang sedih adalah kecuali Ahli Parlimen Hassan Karim dan Steven Choong, lain-lain MP PH yang dulunya pro demo tidak turun untuk solidariti di luar Parlimen.

“Yang bantu adalah Komrad Athirah dari AMANAH yang sertai kami dari Padang Merbok,” kata Arul.

Beliau turut menyifatkan protes gaji minimum RM1,050 itu mendapat sambutan luar biasa apabila disertai ramai ahli kesatuan pekerja.

“Kali terakhir MTUC buat demo di Parlimen adalah 10 tahun yang lalu,” jelasnya.

Berbeza dengan reaksi menteri berkaitan ketika pentadbiran kerajaan BN sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran bertemu dengan perserta himpunan di hadapan bangunan Parlimen sebelum mengadakan perbincangan dengan kira-kira 20 peserta mewakili organisasi masing-masing.

“Yang beza adalah Menteri turun ke bawah untuk bawa orang masuk berbincang dalam Parlimen,” kata Arul.

Beliau berkata, demonstrasi itu turut disertai ramai anak muda dan mahasiswa yang mulai prihatin akan nasib kaum pekerja di negara ini.

Walau bagaimanapun, apa yang masih tidak berubah, kata Arul, adalah tindakan polis yang menghalang peserta himpunan aman itu untuk terus berarak ke Parlimen.

“Mereka juga pada satu ketika cuba membuat tangkapan,” luah Arul lagi sambil memberitahu mereka pulang dari Parlimen dengan menyanyikan lagu “Buruh… Tani… Berjuta kali turun aksi… Bagiku satu langlah pasti”.

Athirah bersama aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut gaji minimum lebih relevan dengan kenaikan kos hidup pada masa ini.

5.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 0.0