Malaysia Dateline

Setuju kerjasama dengan Najib, Umno: Itu laporan 4 tahun lalu, kata Kit Siang

Laporan portal The Coverage yang menggunakan kenyataan Lim Kit Siang pada 2016 mahu memberi gambaran bahawa DAP sedia bekerjasama dengan Najib dan Umno bagi membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, kenyataannya yang ditularkan kembali di media sosial itu sebenarnya adalah laporan berita empat tahun lalu.

Menurutnya, laporan itu berjudul DAP Lim Kit Siang : ‘To Save Malaysia, I Am Prepared To Work With Najib To Restore Democracy & Implement Key Reforms’ hari ini sebenarnya diambil daripada laporan Malay Mail, 12 Mac 2016.

Laporan itu menyebut Kit Siang sanggup bekerjasama dengan bekas Najib Razak untuk menyelamatkan Malaysia.

“Ini adalah kerja influencer media sosial dengan sokongan tentera siber mereka untuk menyebarkan berita dan tanggapan palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan tersebut muncul selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin.