Malaysia Dateline

Sengaja sebar gambar Asyraf Wajdi hilang integriti tidak layak jadi calon PRU15, kata Pemuda Pas Kelantan

Sengaja menyebarkan gambar pertemuan mata antara pimpinan Pas dan Umno Asyraf Wajdi sudah hlilang integriti dan tidak layak untuk dicalonkan pada PRU15 nanti.

Dalam satu kenyataan Ketua Pemuda Pas Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, beliau telah hilang hormat pada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila dengan sengaja dan sedar menyebarkan gambar perbincangan yang mana pada beliau ia sulit dan persendirian.

“Jika setiap perbincangan perlu disebarkan dengan naratif kesalahan hanya diletakkan pada sebelah pihak sahaja, hilanglah kewarasan dalam berfikir.

“Bagaimana seorang bertaraf Ketua Pemuda Umno Malaysia boleh melakukan kesalahan integriti sebegitu, apa lagi cuba membawa imaginasi sendiri, jauh menyimpang dari pokok pangkal perbincangan.,” katanya.

Menurutnya Asyarf sepatutnya melihat jiwa besar Presiden dan Timbalan Presiden Pas sanggup hadir menemui pimpinan Umno dalam mencari jernih Muafakat Nasional (MN).

“Cukuplah difahami jiwa besar ini memberikan gambaran siapa sebenarnya yang lebih bersungguh dan ikhlas membawa agenda penyatuan ummah.

“Asyraf Wajdi hilang integriti dan beliau juga hilang kelayakan sekalipun sebagai calon dalam PRU 15 ini, apalagi tidak sayugia diberikan undi,” bidas beliau.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi gambar pertemuan 8 mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti Umno dan Pas pada hari Rabu 12 Oktober 2022.

Dalam hantaran itu, Asyraf memberitahu pertemuan diadakan sehari sebelum Pas akhirnya membuat keputusan kekal bersama PPBM-Perikatan Nasional.

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir Umno untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan Muafakat Nasional yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi PAS yang membawa mesej bahawa Majlis Syura PAS dan Muktamar PAS telah membuat resolusi mahukan hubungan PAS dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak PAS juga dikhabarkan membuat resolusi serupa.

“Justeru, Umno sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali PAS, walaupun dikhianati apabila PAS bersetuju mendaftarkan Perikatan Nasional bersama PPBM sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional,” kata Asyraf.

Baca juga: Kereta terbang keluaran China untuk riadah buat penerbangan pertama kali di Dubai

Baca juga: Tolak vaksin punya pasal, wanita pilih untuk kahwini lelaki lain