Seni khat: Jangan jadikan isu politik kepartian, KPM perlu beri penerangan

Seni khat: Jangan jadikan isu politik kepartian, KPM perlu beri penerangan

Pemimpin parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang mesti mengelakkan isu seni khat daripada terus berpanjangan dan dijadikan isu politik dalam negara.

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Ahmad Awang berkata, apabila perkara tersebut dijadikan isu politik, secara langsung isu perkauman juga akan mula timbul dalam polemik ini.

Beliau berkata, pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya menangani isu ini tanpa perlu campur tangan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NG0) atau pun ahli politik.

Katanya lagi, KPM boleh mengatasi isu ini dengan memanggil pihak yang bermasalah dan menjelaskan secara terperinci mengenai perkara tersebut supaya mereka faham.

“Pertama, diterangkan mengenai kaligrafi (seni khat), bukan bermakna mengajar tulisan Jawi. Itu yang salah faham.

“Keduanya, seni khat ini bukan wajib dan ia tiada masalah sekiranya tidak diambil ketika peperikasaan. Seni khat ini hanya menambahkan pengetahuan untuk orang bukan Melayu bermakna mereka mempunyai kelebihan dari segi seni khat.

“Faedah daripada seni khat ini saya lihat situasinya menang-menang (win-win). Kalau mereka (orang bukan Melayu) nak buat iklan, tak perlu lagi panggil orang Melayu yang mahir dalam seni khat,”ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai salah tanggapan terhadap Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi apabila penerangannya berkaitan isu pengenalan tulisan Jawi dipetik luar daripada konteks sebenar oleh ahli politik MCA dan Umno.

Shu Qi mendakwa pihak pembangkang bersekongkol memainkan sentimen perkauman dengan memutar belit ucapannya dalam satu dialog pada minggu lalu dengan mengaitkan tulisan jawi turut digunakan dalam buku pornografi sebelum tahun 1956 dan digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja.

Ustaz Ahmad juga tidak menafikan golongan yang tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan juga dilihat mengambil kesempatan berhubung isu ini, berikutan konsep hak kebebasan bersuara dalam era Malaysia Baharu pada ketika ini.

“Maka semestinya, pemimpin-pemimpin parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan, sama ada Melayu atau bukan Melayu mesti mengelakkan perkara ini daripada menjadi isu politik.

“Saya lihat seni khat ini tidak menimbulkan sebarang isu kerana parti-parti dalam kerajaan termasuk DAP tiada yang membantah, tetapi puak-puak walaun dia bantah, itu ikut suka dia lah,” ujarnya.

Mengenai dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pertubuhan yang mewakili pendidikan orang Cina di negara ini Dong Zong sebagai rasis, Ustaz Ahmad berkata, pandangan pertubuhan itu juga bukan menjadi isu.

“Dong Zong biasa lah mereka cakap macam itu, itu kerja mereka. Jadi pada saya, tentang seni khat ini tidak ada isu pun sebab dalam parti pemerintah pun, tiada sebarang bantahan daripada orang Cina yang diwakili DAP dan kaum-kaum lain dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Isu ini hanya jadi masalah kepada pihak sebelah itu (pembangkang), sampai nak buat tandatangan, situasi macam ini lah yang menimbulkan isu perkauman.

“Jadi, kita orang-orang politik tidak wajar mengambil peranan kepada isu yang asalnya bukan perkauman, menjadi kepada isu perkauman pula,” katanya lagi.