Seniman dunia jelajah Kg Banda Dalam

Seramai 25 seniman daripada 12 negara Asian dan Eropah akan berkampung di Kampung Banda Dalam, Gombak selama enam hari bermula hari ini sehingga 25 November.

Program yang pada asalnya berjudul “TransActions in the Field” ini dianjurkan oleh Lostgens’ dan disokong Goethe Institut dan Institut Fur Auslandsbeziehungen dengan kerjasama Japan Foundation.

Sepanjang  berada di Kampung Bandar Dalam, mereka akan dibawa melawat ke seluruh kampung dan melakukan pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan bersama penduduk kampung.

Antaranya melawat ke perusahaan membuat batik lukisan tangan di Abas & Sal Batik, baca puisi, melukis mural, minum petang, mengenali kuih-muih tradisional, tayangan dokumentari warisan dan sembang filem, melawat rumah tradisional Melayu, melawat perusahaan membuat songkok, baju kurung dan baju Melayu, pengkisahan kompang, silat gayung dan lain-lain lagi.

Menurut Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman, pada esok malam, 20 November,  25 seniman ini akan mengisi acara Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) bersama seniman Paksi.

“Datanglah, kita sama-sama semarakkan dunia dengan seni budaya,” katanya sambil menambah BPMS merupakan acara bulanan Paksi di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam.

Beliau berkata, program ini akan membolehkan perkongsian kegiatan seni di lapangan serta gabungan pengalaman antara seniman tempatan dan antarabangsa bersama orang awam  bagi mewujudkan idea-idea kreatif.

Semua kegiatan ini akan didokumentasikan sebagai rujukan kepada generasi akan datang.

Program ini  akan dirasmikan oleh Ketua Kampung Bandar Dalam merangkap Penasihat Madrasah Tarbiyah, Chegu Ishak Surin pada Sabtu ini di Adi Restoran, sebuah restoran milik anak tempatan.

Seniman-seniman yang terlibat ialah Zikri Rahman, Alex Lee, Lee Chiah Ni, Lim Paik Yin, Okui Lala (Malaysia),  Djuwadi, Taring padi (Indonesia), Alicia Neo (Singapura), Alice Ko, Chen, Guan-Jhang (Taiwan), Bhumin Dhanaketpisarn, Makhampom Theater Group (Thailand), Calque Tizxi, Agora Kolektif, Jakob Bartnik, Manila Bartnik (Jerman),   Elaine W Ho, Lee Chun Fung (Hong Kong),  Hymann Oo, Art Space New Zero (Myanmar), Misako Ichimura, Rika Aki, Zulu Kageyama (Jepun) dan Lenan Laru-an (Filipina).

TAGS