Seniman mahu kerajaan baru wujudkan akta seni

AJK Seniman bergambar bersama wakil AMANAH selepas majlis iftar.

Kerajaan baru Pakatan Harapan diharapkan dapat mewujudkan Akta Seni bagi tujuan melindungi karya serta menjaga kebajikan warga seni.

Gesaan itu diutarakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Abd Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi dalam satu majlis Iftar Ramadan Jawatankuasa Seniman Malaysia bersama Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Bencana Alam AMANAH, Sulaiman Ibrahim, di ibu negara, baru-baru ini.

“Cabaran penggiat seni ketika ini semakin mencabar, bukan sahaja isu-isu berkait bayaran royalti tetapi juga isu persaingan apabila wujudnya media maya seperti youtube, google dan lain-lain.

“Kita juga hadapi masalah dari sudut ruang dan peluang pekerjaan kepada pelajar-pelajar seni yang baru menamatkan pengajian mereka. Jumlah ini semakin bertambah namun peluang kerja tidak banyak.

“Sebab itu, kita sangat mengharapkan jika boleh diwujudkan satu akta seni yang boleh menangani masalah berkaitan perkara ini,” katanya.

Selain itu, isu lambakan artis luar negara yang masuk ke negara ini dan mendapat tempat istimewa tanpa melalui saluran yang betul juga harus diatasi.

Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan itu katanya hanya akan membunuh peluang penggiat seni tempatan ketika ini.

Seniman juga ujarnya akan terus memperjuangkan nasib penggiat seni termasuk isu perlindungan insurans dan penyediaan pengkalan data penggiat seni bagi memudahkan mereka yang mahu membuat rujukan.

Untuk rekod, pertemuan Seniman dengan AMANAH ini adalah kali pertama diadakan selepas kerajaan Malaysia bertukar kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Seniman termasuk Zed Zaidi sendiri sebelum ini antara yang sering muncul dan terlibat secara aktif dalam program anjuran kerajaan terdahulu khususnya program anjuran pergerakan pemuda Umno.

CATEGORIES