Seniman marah DBKL robohkan Puncak Purnama

Seniman marah DBKL robohkan Puncak Purnama

Sekumpulan penggiat seni tanah air melahirkan kekecewaan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal bertajuk Lunar Peaks/Puncak Purnama di Kampung Atap, Kuala Lumpur.

Gambar kerja-kerja perobohan yang bermula semalam telah tersebar di laman sosial facebook dan mendapat respons beberapa penggiat seni khususnya seni rupa tanah air.Syed Ahmad Jamal

Mereka menyifatkan tindakan DBKL dan kerajaan yang membiarkan perobohan itu dilakukan itu sebagai tindakan meremehkan tamadun, budaya dan bangsa.

Bagi pengarah galeri seni, R A Fine Arts Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah masyarakat sedang berhadapan kenyataan ‘brutal’ bahawa penguasa bukan sahaja memandang remeh malah tidak mempedulikan soal berkaitan seni, budaya dan pembinaan tamadun sebagai asas membina sebuah negara bermaruah.

Menulis di laman sosial facebook, beliau berkata, suara-suara seniman sama ada melalui persatuan atau individu sangat perlu dalam memberi respons terhadap kegiatan perobohan ini.

”Di manakah suara institusi-institusi dan akademi-akademi seni – Galeri Nasional (BSLN), Aswara, Kementerian Kebudayaan serta NGO-NGO pelukis, penulis, pembikin filem dan seumpamanya?

“Sesuatu bangsa yang besar haruslah belajar untuk menghormati dan mengapresiasi sumbangan para senimannya,” katanya yang juga bekas ahli lembaga pengarah Kumpulan Utusan.

Menurut penulis buku Minda Tertawan itu lagi, para seniman juga harus belajar untuk menjadi penyumbang yang bermakna, bukan sekedar tukang sorak dan tukang angguk terhadap setiap tindakan kerajaan dan pihak berkuasa.

Notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur“Yes-man bukanlah opsyen yang wajar untuk seorang seniman yang ingin membantu proses pemupukan kecerdasan bangsa, masyarakat dan tamadunnya,” tegasnya.

Pada 2010, Syed Ahmad jamal menang saman yang difailkan ke atas DBKL kerana melanggar hak cipta karyanya apabila menukar kulit arca dari bahan kaca seramik kepada besi tanpa memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

DBKL perlu membayar ganti rugi sebanyak RM750 ribu kepada Syaed Ahmad Jamal yang meninggal dunia setahun selepas itu.

Beliau meninggal dunia pada 31 Julai 2011 pada usia 82 tahun.

Beliau merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.

Penulis lirik dan budayawan Hasmi Hashim atau Buddhi Hekayat pula menegaskan, provokasi DBKL terhadap kerja merobohkan arca tersebut hanya akan memulakan satu penentangan besar sama ada di dalam dan di luar mahkamah.

Jentolak merobohkan Puncak PernamaMenurutnya, aa adalah sebuah perlawanan untuk bukan sahaja mengugat kuasa politik dan kekuasaan negara, tetapi lebih ke arah untuk menyelamat tamadun negara-bangsa.

“Saya percaya, orang politik dari apa parti sekalipun takkan bisa menerima perbuatan manusia yang mahu meroboh tamadun bangsa ini. Takkan!

“Lebih-lebih lagi pihak itu adalah penguasa yang sewajarnya membangun ibu negara tanahnair ini.

“Membiarkan “Puncak Purnama” tidak terbela samalah seperti membiarkan kuasa negara membakar buku-buku; menghapuskan perpustakaan-perpustakaan; membunuh seniman-seniman, pemikir, agamawan yang benar atau menghukum manusia yang tiada dosa,” tulisnya yang merupakan bekas Ketua cabang PKR Parit Sulong di facebook.

Sementara itu, penyair dan pelukis Siti Zainon Ismail kesal apabila seniman dan budayawan menjadi insan terpingir dan karya mereka tidak dihargai di tanah air sendiri.

“Seniman, budayawan insan terpinggir di mata sang penguasa hari ini.

” Arca ini masih dalam hak cipta intelek. DBKL tidak merujuk Galeri Nasional? Mana suara ahli lembaga pengarah?” soalnya yang kini merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

COMMENTS

Wordpress (0)