Sentimen sokong kumpulan harus dihapuskan dalam parti

Sentimen sokong kumpulan harus dihapuskan dalam parti

Wanita PKR Johor berharap ahli di seluruh negeri ini dapat menghapuskan sentimen menyokong mana-mana kumpulan, sekaligus terus bersatu demi kebaikan sayap parti berkenaan pada masa hadapan

Ketuanya, Rahamizon Abdul Ghani berkata beliau tidak mahu perkara yang sama berulang sebagaimana  sebagaimana yang berlaku baru-baru ini ketika pemilihan PKR.

Beliau tidak menafikan sewaktu pemilihan lepas, wujudnya kem-kem tertentu termasuk dalam kalangan Wanita PKR sehingga menimbulkan pelbagai persepsi sehingga mengganggu gerak kerja parti.

“Jadi, untuk bergerak sebagai satu kumpulan, tidak sewajarnya sentimen tersebut terus dibawa dan sebab itu saya fokus untuk merapatkan semula ukhwah ahli parti dan apa yang penting, tidak ada mana-mana kem di dalam Wanita PKR Johor selepas ini.

“Sekarang adalah masanya untuk kita bekerja memandangkan Pakatan Harapan (Harapan) sudah menjadi kerajaan dan kebersamaan itu penting kerana rakyat sentiasa menilai kita dan kita perlu bekerja dengan lebih keras lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Kepimpinan Wanita PKR Negeri Johor dan Mesyuarat Wanita Cabang Simpang Renggam di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita PKR Johor dianggap semakin kukuh setelah mempunyai 24 cabang wanita, dan kini dalam usaha untuk menubuhkan dua lagi iaitu di Mersing serta Tanjung Piai.

Beliau juga menjangkakan pertambahan ahli-ahli baharu selepas ini memandangkan sistem pendaftaran ahli baharu sebelum ini ditutup oleh PKR bagi membolehkan ahli-ahli yang ada terlibat dalam pemilihan PKR beberapa bulan lepas.

“Sebab itu ada pendaftaran ahli yang masih tergantung sehingga ke hari ini dan selepas sistem itu dibuka semula oleh pusat, akan ada kira-kira 1,000 pendaftaran yang akan dibuat dalam masa terdekat ini dan ahli-ahli kami juga akan giat untuk mencari ahli-ahli baharu.

“Cuma sekarang ini, kita hendak kenalpasti beberapa cabang tertentu yang belum ada pemilihan mungkin disebabkan masalah tertentu dan kita juga sudah kenalpasti cabang-cabang tertentu yang hendak dibuat penajaan,” katanya.

Tambahnya, bagi mengukuhkan perpaduan dan tidak mewujudkan ‘puak-puak’ dalam kalangan ahli wanita, pihaknya telah menggabungkan muka baharu dan lama untuk menerajui pentadbiran sayap berkenaan

— BERNAMA