Senyap-senyap je berkahwin, 1 Malaysia terkejut Shuk Sahar dah jadi suami Fara Salleh

Oleh KIM SYAZIE

Sedar tak sedar rupa-rupanya pelawak Shuk Sahar dilaporkan sudah pun menamatkan zaman duda dan berkahwin dengan wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini iaitu Fara Salleh.

Pengakuan mengejutkan itu dibuat Fara sendiri yang memaklumkan mereka disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada awal November tahun lalu, iaitu empat bulan lalu.

Jika dikira-kira, Shuk mendirikan rumahtangga kedua selepas lapan bulan dia bercerai dengan bekas isterinya, Rossa Sera.

Fara sebelum ini dikatakan berskandal dengan Shuk Sahar ketika pengacara itu masih lagi berstatus suami kepada Sera.

Untuk rekod, Sera dan Shuk berkahwin pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatu Aimi, 4.

Perkahwinan mereka bagaimanapun berakhir selepas kedua-duanya bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.

“Ya kami dah sah bergelar suami isteri. Kami bernikah awal November lalu, kira sudah empat bulan,” kata Fara memetik laporan mStar.

Fara bagaimanapun enggan memperincikan perihal perkahwinannya dengan Shuk, 37.

Shuk juga ketika dihubungi media enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya meminta soalan berkaitan hubungan mereka ditanya sendiri pada Fara.

Baca juga: Gagal 4 perkahwinan, bilionair tak takut kahwin lagi walaupun usia cecah 92 tahun