Malaysia Dateline

Seorang ADUN Melaka positif Covid-19 selepas tamat tempoh kuarantin tiga hari

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka sah dijangkiti Covid-19 walaupun ujian saringan virus itu pada awalnya negatif.

ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof mendakwa ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada 26 September lalu adalah negatif.

Namun, beliau berkata, empat hari selepas itu (semalam), pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan ujian itu positif pula.

“Selepas dimaklumkan negatif oleh PKD Alor Gajah, saya diminta hadir memotong gelang merah jambu pada Selasa lalu.

“Tiba-tiba semalam, saya dimaklumkan ujian positif pula, walhal saya sudah melakukan beberapa urusan peribadi dan pejabat yang tertangguh.

“Apa pun, pihak PKD Alor Gajah sudah mengaku kesilapan,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Malam semalam, pemimpin Umno Melaka itu dijemput Jabatan Kesihatan negeri di kediamannya selepas mendapati hasil ujian Covid-19 positif.

Ekoran itu, pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh ditutup serta-merta pagi tadi.

Langkah itu dilakukan selepas ADUN tersebut dikatakan mengunjungi kompleks berkenaan dan minum di kafeteria kompleks itu semalam.

“Atas arahan pihak berkuasa, kompleks itu ditutup serta-merta dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dipanggil untuk melakukan sanitasi dan nyah kuman di keseluruhan komplek berkenaan,” kata sumber dipetik BH.

Sementara itu, JBPM negeri melakukan operasi nyah cemar di Kompleks Seri Negeri, pagi tadi.

Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad, berkata proses nyah cemar itu dilakukan anggotanya selepas mendapat permintaan daripada pihak pengurusan kompleks pentadbiran negeri itu.

“Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota dan pegawai kemudian ke Kompleks Seri Negeri bagi melakukan proses sanitasi.

“Ia sanitasi biasa atas permintaan kerajaan negeri memandangkan pihak kami mendapat permohonan yang perlu kami laksanakan,” katanya.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman, ketika dihubungi BH memberitahu yang sebarang kenyataan rasmi akan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi sidang media Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar sepasukan bomba memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menjalankan proses sanitasi di bahagian luar serta dalam bangunan Seri Negeri.

Sementara itu, difahamkan satu pekeliling sudah dikeluarkan supaya semua program anjuran kerajaan negeri serta aktiviti yang membabitkan pemimpin serta masyarakat ditangguhkan sementara sehingga diberitahu kelak.