Seorang daripada lima rakyat Korea Selatan berdepan risiko ketagihan telefon pintar: tinjauan

Seorang daripada lima rakyat Korea Selatan berdepan risiko ketagihan telefon pintar: tinjauan

Seorang daripada lima rakyat Korea Selatan mengalami kebergantungan yang berlebihan terhadap telefon pintar tahun lepas dan nisbah itu meningkat setiap tahun, dedah satu tinjauan pendapat pada Rabu, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut survei Kementerian Sains dan ICT, sebanyak 19.1 peratus penduduk berusia antara tiga dan 69 tahun jatuh dalam kategori berdepan risiko ketagihan atau berisiko tinggi pada 2018.

Mereka yang dianggap berisiko ketagihan mengalami gejala penarikan fizikal dan mental dalam kehidupan sehari-hari mereka selain sering meletakkan penggunaan telefon bimbit sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka.

Jumlah golongan itu meningkat daripada 17.8 peratus pada 2016 dan 18.6 peratus pada 2017, kata kementerian.

Dari segi umur, jumlah pengguna telefon pintar yang mengalami ketagihan di bawah usia tujuh tahun ialah sebanyak 20.7 peratus pada 2018, dengan responden berusia lingkungan 60-an sebanyak 14.2 peratus, menyaksikan peningkatan berbanding 11.7 peratus pada 2016.

Bagi menangani isu ketagihan telefon pintar, kerajaan Korea Selatan telah menjalankan pelbagai usaha seperti menyediakan program pendidikan di sekolah dan mengeluarkan garis panduan kaunseling untuk golongan berisiko tinggi.

Tinjauan pendapat itu dijalankan ke atas sejumlah 28,575 orang antara Ogos dan Oktober tahun lepas.

— BERNAMA