Malaysia Dateline

Seorang Exco, empat AJK Srikandi Bahagian Bersatu umum keluar parti

Pergolakan yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Kedah berlarutan apabila salah seorang daripada Exco Srikandi negeri, Zuraini Kamal mengumumkan perletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti hari ini.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Kuala Kedah berkata, tindakan itu dibuat ekoran terlalu banyak isu dan polemik yang gagal diuruskan dengan baik selain tidak ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan.

Selain Zuraini, tindakannya itu turut disusuli oleh empat lagi individu iaitu dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Pendang) dan Rukiza Abu Bakar (Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena) serta dua AJK Srikandi Bahagian Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

“Antara isu yang gagal ditangani adalah budaya fitnah dan tidak boleh ditegur. Terus terang saya katakan, ada ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatannya kerana kononnya ada salah laku namun malangnya orang berkenaan tidak diberi peluang untuk membela diri.

“Kalau cuba memberi pandangan, nanti akan adalah orang tertentu yang dipecat di peringkat bahagian dengan berselindung di sebalik perkataan ‘rombakan’. Sehinggakan pada satu ketika, terdapat dua individu berada di kedudukan sama dan itu sudah tentu membawa perpecahan di peringkat bahagian,” katanya seperti dilaporkan Utusanonline dalam sidang akhbar di Alor Setar hari ini.

Tambahnya, perkara itu pernah beberapa kali disuarakan kepada kepemimpinan parti termasuk di peringkat tertinggi namun tidak langsung dipedulikan.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selepas ini sudah tentu ada yang akan menggelarkan kami sebagai pengkhianat dan pemakan dedak tetapi kami berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

“Bukan semua benda boleh dibeli. Untuk pengetahuan, ramai dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan yang telah meletak jawatan dan meninggalkan parti namun mereka tidak mahu untuk mendedahkannya secara terbuka atas sebab-sebab tertentu termasuk bimbang dilabelkan dengan gelaran bukan-bukan,” katanya