Seorang Islam tidak harus pertikai solat, kata AJK Fatwa P.Pinang

Soid Mohd Amin

Seseorang yang mengaku Islam tidak harus mempertikaikan mengenai solat Jumaat atau pun mencadangkan ianya ditukar kepada hari lain dengan apa jua cara, akidah muslim tersebut boleh dipertikaikan dan beliau perlu diberi nasihat dengan segera kata, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Soid Mohd Amin.

Beliau berkata, persoalan mengenai arahan untuk mengerjakan solat Jumaat jelas terdapat dalam Al Quran dan Hadis dan ianya bukan khilaf atau perbezaan pandangan.mengulas mengenai isu yang tular dalam laman sosial dakwaan seorang kolumnis baru-baru ini yang mencadangkan supaya Solat Jumaat diubah pada hari Sabtu.

“Seandainya benar perkara ini berlaku, maka adalah dinasihatkan agar pihak berkuasa agama memanggil dan memberi nasihat kepada individu tersebut.

“Pihak berkuasa melalui beberapa kementerian dan jabatan yang ada perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan individu tersebut agar ia tidak jauh terpesong.

“Solat Jumaat sudah muktamad dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak atas apa juga kapasiti dan kedudukan beliau, ” tegasnya lagi.

Malah tambahnya contoh yang boleh disamakan ialah solat setiap hari adalah lima waktu, maka ia tidak lagi boleh dipendekkan kepada empat atau tiga waktu sepertimana yang diingini.

“Begitu juga dengan contoh yang mudah apabila kita hendak melaksanakan Islam yang kelima iaitu mengerjakan Haji.

“Untuk menunaikan rukun tersebut ia tidak boleh dilakukan di tempat lain selain di Mekah.

“Sebelum terlambat, maka usaha dan tindakan segera boleh dilakukan oleh pihak berkuasa maupun mana-mana pertubuhan bagi menyelamatkan individu tersebut, ” kata beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan Tasek Gelugor semasa di temui selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Negeri Pulau Pinang di Sungai Dua, Tasek Gelugor semalam.