Seorang lagi Hakim Amerika Syarikat sanggah arahan Trump

Seorang lagi Hakim Amerika Syarikat sanggah arahan Trump

Seorang hakim federal di Los Angeles telah mengenakan satu lagi tamparan ke atas perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang menyekat warga asing daripada memasuki Amerika Syarikat, dalam keputusan yang menambahkan kekeliruan mengenai kesahihan larangan imigresen itu.

Menggunakan bahasa lebih luas berbanding keputusan mahkamah sebelum ini, Hakim André Birotte Jr daripada Mahkamah Daerah Amerika pada 31 Jan mengeluarkan perintah sekatan sementara, yang membenarkan masuk orang yang mempunyai visa imigran sah dari tujuh negara majoriti Islam yang disekat Trump.

Perintah hakim itu hanya berkuat kuasa bagi orang yang memohon tinggal di Amerika selama-lamanya dan sedang mengambil langkah pertama untuk menjadi penduduk sah. Ini tidak termasuk pelancong atau pelajar yang cuba memasuki Amerika, lapor NYTimes.

Perintah itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada aduan yang difailkan bagi pihak 28 orang dari Yaman, yang merupakan warga Amerika dan ahli keluarga mereka yang berada di Yaman tetapi kemudian menerima visa imigran.

Mereka terperangkap di sebuah lapangan terbang di Djibouti sejak Trump mengeluarkan arahan eksekutif pada 27 Jan, menurut aduan itu.

Seperti keputusan mahkamah di New York dan Boston, perintah Hakim Birotte berkata plaintif mungkin berjaya di mahkamah berdasarkan merit dan mereka juga “mungkin mengalami kecederaan yang tidak boleh diperbaiki” tanpa perintah mahkamah itu.

Yaman sedang dilanda perang saudara dan orang awam dalam bahaya.

Namun tidak seperti beberapa kes lain, keputusan Hakim Birotte seolah-olah terpakai di seluruh negara, bukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles sahaja.

Sedang perintah mahkamah lain menyekat penghantaran pulang pendatang, beliau menulis dengan jelas bahawa pemerintah tidak boleh menahan mereka atau menghalang kemasukan mereka ke Amerika.

Sejak arahan eksekutif Trump dikeluarkan, pegawai sempadan dan pekerja syarikat penerbangan di seluruh dunia telah menahan orang dari negara terjejas – Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman – daripada menaiki pesawat menuju ke Amerika.

Tetapi, walaupun selepas seorang hakim New York memutuskan orang yang mempunyai visa sah tidak boleh dihantar pulang ke negara asal mereka, terdapat laporan bahawa ini terus berlaku.

Dalam banyak kes, individu terbabit dilaporkan ditahan 24 jam atau lebih, jauh lebih lama daripada pemeriksaan biasa bagi memasuki negara ini.

Masih tidak jelas bagaimana pentadbiran Trump akan bertindak balas terhadap perintah kehakiman yang banyak dikeluarkan dalam beberapa hari lepas.

TAGS