Malaysia Dateline

Seorang lagi doktor sokong agar kaedah saringan RTK-Ag digunakan

Seorang lagi doktor perubatan menyokong pandangan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar kerajaan menukar kaedah ujian saringan Covid-19 kepada kaedah yang membolehkan keputusan saringan yang lebih cepat.

Dr Arvinder-Singh HS dalam satu pandangan beliau melalui twitternya berkata, ramai yang tertanya-tanya, kenapa ujian PCR perlu digantikan dengan ujian RTK-Ag untuk mengawal wabak Covid-19.

Katanya, walaupun ujian PCR sangat sensitif (kadang-kala boleh mengesan virus Covid-19 yang telah mati), ia mengambil masa yang sangat lama untuk diproses.

“Kenapa ini penting? Apabila keputusan ujian diperolehi dengan cepat, para doktor boleh membuat keputusan untuk mengisolasi pesakit dan memulakan contact tracing dan rawatan.

“Jika Ujian PCR digunakan untuk saringan, ia akan mengambil masa yang lebih untuk ini berlaku,” kata beliau.

Katanya, masa yang lebih untuk menunggu keputusan PCR ini boleh memudaratkan situasi.

“Orang yang sedang menunggu keputusan yang tidak mempunyai gejala mungkin akan keluar dan berdamping dengan orang lain.

“Perebakan virus boleh berlaku dan oleh sebab itu, kepatuhan SOP sangat penting,” kata beliau menerusi twitter panjang itu.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly telah mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar ujian saringan PCR yang keputusan sehingga dua ke tiga hari yang digunakan sekarang ditukar kepada RTK-Ag yang hasilnya boleh diperolehi dengan lebih cepat iaitu antara 30 minit sehingga tiga jam sahaja.

Pandangan beliau juga disokong oleh pakar perubatan kanak-kanak dari Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Menurut Dr Arvinder, walaupun negara kita mempunyai kapasiti untuk memproses hampir 70,000 ujian setiap hari, ujian ini tidak mencukupi untuk wabak ini.

“70,000 ini tidak mengambil kira ujian yang dibawa ke depan dari hari sebelumnya atau backlog.

“Dengan adanya backlog yang besar, kadar ujian yang boleh dijalankan pada hari itu akan semakin bertambah.

“Inilah sebabnya memprosesan PCR mengambil masa 2-7 hari (mengikut beban kerja dan backlog).

“Penggunaan RTK-Ag tidak memerlukan pemprosesan di makmal khas dan keputusan ujian boleh diperolehi dalam 1-3 jam,” kata beliau.

Beliau meminta agar jangan salah faham dengan pandangan beliau ini kerana ujian PCR penting.

“Tetapi hanya perlu di buat jika pesakit positif dengan RTK-Ag. Apa bezanya dengan keadaan sekarang? Mitigasi utk mendapat isolasi dan rawatan boleh bermula dalam beberapa jam berbanding dengan menunggu 7 hari sebelum bertindak,” kata beliau.