Malaysia Dateline

Seorang lagi peguam KANUN korban Covid-19 di Hari Arafah

Berselang hanya seminggu, Biro Undang-undang AMANAH (KANUN) kehilangan seorang lagi ahlinya lantaran diragut pandemik Covid-19.

Timbalan Setiausaha Kanun, Allahyarham Mohd Nazrudin Abdullah (kanan) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang hari ini selepas lebih seminggu ‘ditidurkan’.

Laman Facebook rasmi KANUN memaklumkan hal demikian sebentar tadi.

“Dukacita kami dimaklumkan seorang lagi ahli KANUN iaitu Allahyarham Mohd Nazrudin Abdullah yang juga Timbalan Setiausaha Kanun telah meninggal dunia pada tengahari Hari Arafah 19.7.2021 setelah beberapa hari dirawat di Hospital Ampang akibat Covid-19.

“Baharu minggu lepas kami dikejutkan dengan pemergian Pengerusi KANUN Pahang, Allahyarham Salkukhairi Abd Sukor,” kata kenyataan itu.

Menurut KANUN, Allahyarham Nazrudin atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Deng adalah antara peguam terawal yang menyertai AMANAH sejurus selepas parti itu ditubuhkan.

“Sesungguhnya, beliau seorang yang gigih dan banyak berjasa dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Sehubungan itu, KANUN menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada keluarga Allahyarham Nazruddin.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun amanah peguam Termizi & Co dalam Public Islamic Bank 3987868320 dengan rujukan Derma Covid Din.

“Moga sedikit sumbangan kita boleh meringankan ujian kepada keluarga sahabat kita,” kata KANUN lagi.

Allahyarham Nazrudin bersama isteri dan anak-anak.