Malaysia Dateline

Sepakan bebas Safawi selamatkan maruah Malaysia

– Pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid menjadi penyelamat maruah skuad negara apabila jaringan pada lewat permainan membantu Malaysia menewaskan Laos 1-0 dalam Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dibawa masuk pada minit ke-54, penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berjaya menyempurnakan sepakan bebas dari luar kotak penalti pada minit ke-81 selepas skuad negara menampilkan persembahan yang mengecewakan.

Keputusan yang melegakan pengendali Datuk Ong Kim Swee itu membolehkan skuad negara mengutip enam mata selepas mengalahkan Filipina 3-0, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tugas berat menanti skuad negara apabila melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang pasukan pilihan, China, Selasa ini.

Pada aksi tersebut, Kim Swee melakukan lima pertukaran namun gagal menampilkan aksi meyakinkan dengan ketiadaan  Nik Akif Syahiran dan Muhammad Daniel Amier Norhisham amat terasa di bahagian tengah.

Kim Swee mengakui aksi anak buahnya hambar tetapi mampu menarik nafas lega dengan kehadiran gol kemenangan pada lewat permainan

Selepas gagal menyempurnkan peluang pada babak pertama, pemain mula hilang arah, katanya selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Laos, V. Sundramoorthy berkata beliau bangga dengan persembahan anak buahnya tetapi sedih kerana kalah menerusi sepakan bebas pada lewat permainan.

— BERNAMA