Malaysia Dateline

Separuh pengundi Amerika anggap Trump rasis

Separuh pengundi Amerika menganggap Presiden Donald Trump sebagai seorang rasis, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu tinjauan pendapat baharu pada Selasa.

Lima puluh satu peratus rakyat Amerika berkata Trump adalah seorang rasis manakala 45 peratus lagi menyangkal perkara itu, dedah tinjauan pendapat oleh Universiti Quinnipiac.

Menyentuh dasar imigresen Trump, 49 peratus pengundi berkata ia bermotifkan “hasrat yang ikhlas untuk mengawal sempadan kita” manakala 41 peratus berpendapat ia bermotifkan “pegangan yang rasis.”

Tinjauan pendapat itu dijalankan antara 25 dan 28 Julai, membabitkan sejumlah 1,306 pengundi di seluruh negara.

Ia dibuat hampir dua minggu selepas Trump “menyerang” empat anggota kongres muda wanita Demokratik — Alexandria Ocasio-Cortez, Ilhan Omar, Rashida Tlaib dan Ayanna Pressley — serta mencetuskan perdebatan berkaitan penggunaan bahasa yang berunsurkan rasis oleh presiden itu.

Trump menimbulkan kekecohan pada 14 Julai melalui akaun Twitter apabila beliau menyuruh kesemua anggota kongres progresif itu “kembali” ke negara asal mereka “yang telah rosak sepenuhnya dan dipenuhi jenayah.”

“Kesemua Tweet itu BUKAN (bersifat) Rasis. Saya tidak memiliki sedikitpun sifat Rasis!” kata Trump apabila Dewan Perwakilan mengundi untuk mengutuk tweet terbabit.

— BERNAMA