Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda, kata SPRM

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda, kata SPRM
(kiri) Menteri Besar Amirudin Shari (kanan) Latheerfa Koya dalam majlis melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) barisan Exco Kerajaan Selangor hari ini.

Separuh daripada kes rasuah yang membabitkan penjawat awam di negara ini terdiri daripada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata kebanyakan mereka daripada sektor perolehan.

“Statistik SPRM menunjukkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun tahun ini, adalah kakitangan awam

“Manakala 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan SPRM bagi tempoh sama adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah,” katanya ketika berucap pada majlis melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) barisan Exco Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian yang dijalankan SPRM juga mendapati sebanyak 22.1 peratus responden penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan.

Katanya, perkara itu mesti diperbetulkan agar kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan sama sekali.

“Perkara ini perlu segera diperbetulkan. Ia menuntut komitmen semua pihak untuk bersama-sama dengan SPRM memerangi perkara ini,” katanya– BERNAMA