Malaysia Dateline

Sepatutnya agih bantuan kepada rakyat, bukan agih jawatan kepada MP

Ketika fokus rakyat Malaysia dari semua golongan masyarakat sedang berhempas-pulas membendung penularan wabak Covid-19, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula dilihat mengambil kesempatan dari fokus sebenar apabila memberikan jawatan kepada ahli-ahli Parlimen dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia merupakan satu langkah yang terkebelakang oleh Kerajaan PN dan tidak kena pada masanya. Perihal sebenar yang perlu dititik-beratkan ialah bagaimana wabak Covid-19 ini mampu dikawal, bagaimana lebih banyak saringan mampu dijalankan, bagaimana kes baharu mampu direndahkan, bukan berbahagi jawatan untuk kepentingan politik.

Malah ada dalam kalangan pimpinan mereka sebelum ini begitu lantang mendesak supaya tiada lantikkan politik untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam GLC. Kata mereka, jawatan tersebut hanya layak diisi oleh golongan profesional dan teknokrat.

Namun selepas mendapat kekuasaan dari aksi ‘tebuk atap’ sepertimana yang mereka sendiri akui, nada mereka telah berubah apabila mencadangkan pula jawatan-jawatan GLC ini perlu diisi oleh ahli politik dengan Ahli Parlimen sebagai kelayakan.

Ini jelas membelakangkan kepentingan rakyat. Umumnya mengetahui tugasan Ahli Parlimen ialah menjadi wakil rakyat di parlimen untuk membuat dasar yang membangunkan negara dan mengangkat martabat rakyat. Menang pilihan raya sebagai Ahli Parlimen tidak sesekali menjadi merit yang melayakkan lantikan jawatan tertinggi GLC.

Untuk mengemudi syarikat GLC bertaraf nasional dan antarabangsa, mereka yang dilantik itu haruslah terdiri daripada sosok yang mempunyai pengalaman yang lumayan, berintegriti serta mencakupi kredibiliti berpandukan kelayakan dalam bidang professional masing-masing.

Demi kepentingan rakyat, pemilihan calon yang tepat adalah wajar bagi memastikan GLC ditadbir urus oleh mereka yang cekap berdasarkan kemampuan, pengalaman dan akauntabiliti, bukan sekadar melantik ahli politik yang menjadi Ahli Parlimen lalu diberi tiket untuk mengemudi syarikat milik kerajaan, yang juga milik rakyat.

Kerajaan seharusnya lebih rasional dan menumpukan perhatian terhadap isu covid-19 yang membawa gelombang kemelesetan ekonomi dengan lebih serius. Janganlah hilang fokus, keadaan negara masih belum beransur pulih. Mengapa tidak perlantikan jawatan GLC ini dilaksanakan setelah krisis Covid-19 selesai?

Perlantikan jawatan GLC yang berlaku ketika krisis Covid-19 sedang melanda membuktikan betapa kerajaan hari ini begitu licik mengambil kesempatan di atas keributan dan pergolakan negara dalam menghadapi krisis Covid-19 dan krisis kemashalatan rakyat.

Ketika ada rakyat yang terputus bekalan makanan kerana kehilangan pekerjaan dan hilang mata pencarian, ketika yang sama kerajaan melantik ahli parlimen dengan jawatan bergaji lima angka.

Ketika pelbagai barangan keperluan diagihkan kepada rakyat yang terkesan dan terjejas teruk ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka pula terus bergerak mengagihkan jawatan kepada sesama Ahli Parlimen.

Justeru itu, kita mendesak agar pihak kerajaan menimbang semula semua perlantikan ahli parlimen dengan jawatan tertinggi GLC di atas dasar kepentingan rakyat dan negara. Lantiklah golongan profesional dan golongan yang layak kerana jika diserahkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kegagalan dan kehancuran.