Malaysia Dateline

Sepatutnya PH kalah dalam PRU-14: Grand Coalition peluang terbaik untuk Anwar jadi PM

BAHAGIAN II

Keadaan di mana undi Umno/BN merosot dan berpindah menjadi undi PH sehingga undi PH tidak terjejas walaupun Pas memperolehi tambahan beribu undi berlaku bukan di Shah Alam sahaja.

Ianya merupakan fenomena yang berlaku di hampir kesemua Kawasan yang ditandingi secara 3 penjuru antara PH, Pas dan Umno/BN. Sedangkan para strategis Umno/BN menganggap dengan hilangnya undi Pas dari calon PH, maka PH pasti kalah.

Kawasan Permatang Pauh dan Pandan

Di Permatang Pauh sendiri, trend yang sama jelas kelihatan. Pada 2013, DSAI sebagai calon PR memperolehi 37,090 dan calon Umno/BN mendapat 25,369 undi. Pada 2018, walaupun Pas memperolehi 14,428 undi, yang mana pada 2013 jumlah ini mengundi DSAI, namun undi PH pada 2018 bagaikan tidak terjejas dan berjumlah 35,534! Undi untuk calon Umno/BN pula merosot, dari 25,369 pada 2013 kepada 19,866 pada 2018.

Begitu juga di Pandan, Selangor. Pada 2013, calon PR, Rafizi, mendapat 48,183 sambil calon Umno/BN memperolehi 26,729. Pada 2018, walaupun Pas mendapat 8,336 undi yang sebahagian besarnya mengundi calon PR pada 2013, namun calon PH telah mendapat jumlah undi yang melonjak begitu banyak ia itu sebanyak 64,733! Undi untuk calon Umno/BN pula merosot dari 26,729 kepada 12,190!

Kak Wan, selaku calon PH di Pandan, sememangnya menjadi inspirasi bagi seluruh rakyat Malaysia apabila dia dilihat sanggup mengutamakan kepentingan negara dari kehendak peribadi dengan menerima kebersamaan PPBM yang dipimpin Tun Mahathir. Saya yakin ini merupakan antara sebab undinya begitu melonjak berbanding dengan calon-calon PH yang lain.

Saya yakin, sikap mengutamakan kepentingan negara seperti yang ditunjukkan Kak Wan pada 2018 akan mendapat sambutan dan sokongan yang sama dari pengundi pada PRU ke 15. Sikap berjiwa besar, kesanggupan menyatukan pembangkang demi kepentingan negara, adalah sifat yang disanjung dan dipuji sepanjang zaman.

Kawasan Kuala Selangor

Biar saya tunjukkan satu kes pula di mana calon PR dari Pas dengan undi Pas telah kalah pada 2013 tetapi tanpa undi Pas telah menang pada 2018! Sungguh ajaib! Yang saya maksudkan ialah kerusi Kuala Selangor yang ditandingi oleh sahabat baik saya, Dr. Dzul.

Pada 2013 dia telah bertanding sebagai calon PR dari Pas dan dia memperolehi 27,040 undi sambil calon Umno/BN mendapat 27,500 undi. Dr. Dzul kalah pada 2013 dengan majoriti yang begitu tipis memihak kepada calon Umno/BN.

Namun, pada 2018, walaupun Pas bertanding bersendirian dan calonnya mendapat 8,535 undi, Dr. Dzul sebagai calon PH telah menang dengan mendapat 29,842 undi! Calon Umno/BN mendapat 21,344 undi sahaja, berkurangan sebanyak 6,000 lebih undi berbanding 2013.

Tiada yang waras akan memperlekehkan kejayaan pendekatan Grand Coalition semasa PRU ke 14. Bagi yang terus ingin berfikiran tidak waras dan terus ingin menegakkan benang basah mereka, silakan. Tetapi saya yakin, tidak ramai yang akan turut berfikiran kurang waras dan emosi seperti mereka.

Grand Coalition untuk PRU ke 15?

Konvensyen AMANAH yang diadakan pada Disember 2020 telah memutuskan bahawa Grand Coalition antara pembangkang adalah hala-tuju yang wajar diikuti dalam menghadapi PRU ke 15. Ini adalah berdasarkan hujah seperti di atas dan hakikat bahawa untuk PRU ke 15 kita akan berhadapan dengan saingan yang jauh lebih kuat berbanding PRU ke 14.

Ada yang menonjolkan pencapaian di Pilihan Raya kecil DUN Slim sebagai hujah untuk memperlekehkan calon dari ‘Pejuang’ demi menolak konsep Grand Coalition ini. Mereka tidak sedar betapa hujah mereka memakan diri.
Pilihan Raya Kecil DUN Slim.

Semasa PRK Slim, pihak Umno/BN, Pas dan PPBM bersatu. Maka undi yang diperolehi mereka secara berasingan telah disatukan. Pada 2018, semasa PRU ke 14, calon Umno/BN mendapat 8,327 undi, calon PH dari PPBM mendapat 6,144 undi dan calon Pas mendapat 4,103 undi. Pada PRk 2020 DUN Slim, calon Umno/BN mendapat 13,060 dan calon bebas (Pejuang) mendapat 2,115 undi.

Berdasarkan keputusan PRK Slim ini, amat jelas undi Umno/BN dan Pas telah berjaya disatukan sehingga menjadi 13,060! Mereka mengamalkan kaedah ‘Grand Coalition’ untuk menumpaskan calon bebas (Pejuang).

Di sebaliknya ada yang dari pihak kita berbangga dengan pendekatan ‘nak tunjuk Pejuang takde sokongan’ sehingga kita berpecah-belah.

Adakah yang bergembira dengan kekalahan calon bebas (Pejuang) di Slim ingin mencadangkan pendekatan pecah-belah ini untuk PRU ke 15? Adakah mereka ada agenda lain sehingga pengajaran yang paling jelas yang boleh diperolehi di DUN Slim sengaja diabaikan?

Kalau benar 2,115 undi itu, atau separuh darinya adalah undi penyokong Pejuang, maka tidakkah ianya tetap merupakan undi yang sangat bernilai untuk PH semasa PRU ke 15? Atau kamu nak jadikan PRU ke 15 ini sebagai PRU untuk mentontonkan “Pejuang” takde sokongan dan bukan untuk menang dan membentuk kerajaan?

Pepatah Melayu terhasil dari pengalaman nenek moyang kita. Dalam keadaan ini mungkin pepatah “Menang sorak, kampung tergadai” amat sangat sesuai. Semoga mereka insaf dan mula mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

Hala-tuju PRU ke 15

AMANAH telah membuat pendiriannya melalui Konvensyennya di Melaka pada Disember 2020. Pendekatan Grand Coalition adalah pilihan kami di mana PH perlu membuka ruang kerjasama dengan semua parti pembangkang, khususnya yang terlibat dalam menghasilkan undian 108 di Parlimen.

Ini bermaksud parti-parti Pejuang, Warisan dan PSB perlu didampingi dan dijemput bersama. Semestinya atas prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama berhubung keadilan dan tata-kelola baik (good governance) serta penolakan terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Sememangnya Grand Coalition ini akan dipimpin PH kerana memiliki 91 dari 108 kerusi dewasa ini dan diyakini akan terus dipimpin PH selepas PRU ke 15 selesai. Sekiranya Grand Coalition ini menang, semestinya PH akan mempunyai kerusi terbanyak dan Pengerusi PH akan menjadi PM.

Strategis Umno/BN dan PRU ke 15

Sudah pasti para strategis Umno/BN, Pas dan PPBM sedang menyusun strategi mereka untuk menghadapi PRU ke 15 juga.

Sudah pasti mereka akan usahakan kerjasama dan kesatuan antara mereka untuk menjamin kemenangan mereka. Pada masa sama, sudah pasti mereka akan berusaha memecahbelahkan PH sepertimana mereka memecahbelahkan PR tempoh hari.

Pecahnya PR dulu kerana adanya golongan berunding dengan Umno/BN dalam gelap sehingga Pas akhirnya meninggalkan PR. Sudah pasti ada faktor tarikan yang menyebabkan Pas bertindak begitu.

Saya hanya boleh mengagak strategi yang akan dikemukakan para strategis ini untuk dipecah-belahkan PH serta menggagalkan usaha ke arah pembentukan Grand Coalition.

Kalau dulu mereka jajakan label “Anwarinas” untuk pecahkan Pas dan membawa Pas keluar PR. Label apa pula yang akan mereka cipta dan bantu sebarluaskan di kalangan anggota dan penyokong PH untuk memecahkan PH?

Kesimpulan

Almarhum TGNA pernah berpesan, mafhumnya, Umno bila lemah akan datang pada kita sebagai kawan. Bila mereka kuat mereka akan ketepikan kita.

Sudah tiba masanya Malaysia dibebaskan dari genggaman Umno dan orang Melayu dilepaskan dari terus berpegang kepada kepercayaan khurafat bahawa Melayu akan mati tanpa Umno.

Pada PRU ke 14 kita berjaya mengurangkan kuasa Umno kepada Perlis dan Pahang sahaja. Malangnya kita dikhianati Azmin dan Muhyiddin. Sekarang Umno kembali mengaung.

Pada PRU ke 15 mari kita ulangi pencapaian kita melalui pendekatan Grand Coalition itu. Semua pengkhianat telahpun dikenal pasti. Mereka tidak bersama kita lagi maka kemenangan kita, apabila ianya tercapai, akan dipertahankan dengan lebih berkesan.

KLIK UNTUK BAHAGIAN 1