Malaysia Dateline

Sepatutnya PH kalah dalam PRU 14, tetapi keajaiban berlaku

Pada hakikatnya, PH sepatutnya kalah pada PRU ke 14. Mungkin ramai terkejut dengan kenyataan saya ini, namun ianya satu fakta yang tidak boleh saya selindungi lagi.

Sememangnya pakar runding strategik Umno/BN sudah begitu yakin bahawa PH akan dikalahkan pada PRU ke 14. Mereka yakin begitu atas sebab dua strategi utama yang telah mereka laksanakan dengan jayanya.

Strategi pertama adalah memecahkan Pakatan Rakyat (PR). Ini tercapai melalui perubahan dalaman Pas di mana golongan yang menyokong kerjasama PR digelar “Anwarinas” dan dijatuhkan melalui penggunaan ‘cai’ semasa Muktamar Pas 2015.

Dengan perubahan dalaman ini, maka Pas memisahkan dirinya dari PR dan bersendirian semasa PRU ke 14. Ini bererti undi calon PR akan berkurangan kerana tidak lagi mendapat undi penyokong Pas.

Sambil itu undi popular PR sebanyak 52% yang tercapai pada PRU 13 tidak akan dapat diulangi PR semasa PRU ke 14.

Strategi kedua adalah persempadanan baharu di mana kawasan-kawasan tumpuan dipinda mengikut kepentingan Umno/BN.

Ini dilakukan dengan memindah keluar daerah mengundi yang dimenangi calon PR pada PRU ke 13 dari kawasan yang ingin dimenangi Umno/BN.

Mereka dipindahkan ke kawasan kubu PR sehingga akan memenangkan calon PR di situ dengan majoriti yang lebih besar.
Dengan dipindahkan mereka ke kawasan kubu PR maka calon BN akan dapat dimenangkan di kawasan sasaran tersebut.

Saya akan perjelaskan lagi dua strategi ini dengan digunakan Kawasan Parlimen Shah Alam sebagai contoh.

Penjelasan mengenai strategi pertama

Pada PRU ke 13, saya merupakan calon PR dari Pas dan saya telah memenangi kerusi Parlimen Shah Alam dengan majoriti sebanyak 10,000.

Undi yang diperolehi saya adalah sebanyak 48,000 dan undi yang diperolehi calon Umno/BN adalah sebanyak 38,000. Adalah jelas bahawa undi 48,000 yang telah saya perolehi adalah termasuk undi ahli dan penyokong Pas. (angka dibundalkan)

Pakar strategi Umno/BN mengetahui bahawa jumlah pengundi ahli dan penyokong Pas adalah melebihi 20,000 di Shah Alam. Oleh itu sekiranya undi ini dapat dipisahkan dengan dipujuk Pas bersendirian maka calon Umno/BN akan menang pada PRU ke 14.

Dan inilah apa yang mereka usahakan selepas sahaja PRU ke 13. Dengan dimainkan isu bersifat emosi terhadap PKR dan DAP, maka akhirnya Pas bertanding secara bersendirian semasa PRU ke 14 dan calonnya mendapat sebanyak 15,000 undi! Sememangnya, sepatutnya saya kalah.

Penjelasan mengenai strategi kedua

Memang diketahui umum bahawa Taman Berkeley merupakan antara kubu sokongan PR pada PRU ke 13. Oleh itu daerah mengundi Taman Berkeley yang mempunyai 5,000 pengundi yang hampir kesemuanya bukan Melayu dipindahkan ke Parlimen Kawasan Klang.

Parlimen Klang sememangnya kubu PR, khususnya DAP, dan memindahkan daerah mengundi Taman Berkeley ke Klang hanya menambah majoriti bagi calon PR di Klang.

Namun, pada masa sama, ianya akan mengurangkan undi PR di Shah Alam dan memungkinkan calon Umno/BN menang di Shah Alam.

Dan persempadanan baharu dilakukan sebelum tarikh PRU ke 14 dan apabila saya kehilangan daerah mengundi pro PR seperti Taman Berkeley, sememangnya sepatutnya saya kalah.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Keajaiban yang berlaku. Saya menang dengan bergaya dalam PRU-14.

BERSAMBUNG…