Malaysia Dateline

Sepatutnya PH kalah PRU 14: Kenapa kami cadang Grand Coalition

BAHAGIAN III DAN AKHIR

Saya ucapkan terima kasih kepada Pengarah Komunikasi Nasional Gerak 98, saudara Zukri Aksah kerana memberi respon kepada tulisan Bahagian I dan Bahagian II saya. Ini merupakan Bahagian ke III dan terakhir atas tajuk ini.

Ada beberapa premis yang membezakan analisa saya dan Saudara Zukri. Saya akan mengupaskannya di sini secara terperinci.

Perbezaan pertama – kedudukan Pas

Bagi Saudara Zukri, Pas adalah pembangkang pada 2018. Oleh itu, tiada Grand Coalition antara pembangkang pada PRU ke 14 kerana Pas, sebagai pembangkang, tidak menyertainya.

Dalam isu ini, kelihatan sikap Saudara Zukri adalah selari dengan sikap Azmin Ali semasa pembentukan Pakatan Harapan. Azmin menganggap Pas sebagai pembangkang dan mendesak supaya Pas dipujuk dan dirayu untuk bersama dalam PH.

Marahnya Azmin Ali dengan pembentukan PH sehingga beliau dan Zuraidah walk-out semasa pelancaran PH. Kemarahannya semakin melonjak apabila PH bersetuju menamakan Tun Mahathi rsebagai calon PM sekiranya PH menang.

Ini dilakukan pada ketika itu kerana Anwar telah dipenjarakan oleh kerajaan Najib pada 2016.

Persamaan sikap Zukri dan Azmin dalam soal ini adalah satu kebetulan, saya yakin, dan saya tidak bermaksud untuk menuduh Zukri sebagai penyokong Azmin. Lebih-lebih lagi sekarang apabila Azmin jelas mengkhianati PH. Namun sikapnya terhadap Pas adalah sama.

Bagi AMANAH, Pas bukan pembangkang pada ketika itu. Malah, seperti yang saya nyatakan dalam bahagian 1 dan 2, berdirinya Pas secara bersendirian (bersama ‘Gagasan Sejahtera’) adalah mengikut perancangan Umno/BN! Kerana, sememangnya, strategi Umno/BN adalah untuk mengalahkan PH apabila PH kehilangan undi penyokong Pas.

Bersekongkolnya PAS dengan Umno/BN jelas kelihatan sebelum PRU ke 14 lagi. Mereka menyerang PH, khususnya DAP, dan tidak menyerang Umno/BN. Najib dibela dengan dikatakan ianya semua khabar angin dan tidak dibuktikan di mahkamah! Malahan RUU 355 adalah juga sebahagian perancangan Umno/BN untuk menimbulkan perbalahan antara kami dan DAP.

Peristiwa bangun duduknya Presiden Pas, mengikut paluan gendang Umno/BN jelas membuktikan kepada semua bahawa Pas menjadi alat Umno/BN. Hanya penyokong tegar dan setia Pas tidak menyedarinya.

Sekali lagi saya kena nyatakan saya tidak bermaksud untuk menuduh Zukri sebagai penyokong setia Pas, seperti Azmin, tetapi kenyataan bahawa Pas bukan pembangkang, walaupun bertanding tiga penjuru menentang Umno/BN, seharusnya jelas bagi semua penganalisa politik, lebih-lebih lagi yang bersama pembangkang.

Perbezaan kedua – kedudukan Pas 2.0!

Saya tidak mengerti mengapa susah sangat nak difahami oleh Zukri dan rakan-rakannya bahawa kata-kata Muhyiddin, “2% lagi undi lari dari BN, maka BN kalah!”, adalah benar pada ketika itu, ia itu sebelum Pas keluar PR. Apabila PAS keluar PR, maka swing 2% tidak lagi mencukupi.

Ini adalah kerana Pas telah membawa lari dari PH lebih 28.14% undi Melayu Semenanjung! (Statistik Zukri sendiri). Para strategis Umno/BN telah mensasarkan supaya Pas keluar PR sejak dari tarikh Muhyiddin membuat kenyataan itu dan mereka telah berjaya! Oleh itu statistik itu tidak lagi releven untuk PRU ke 14.

Saya rasa pemikiran Saudara Zukri terperangkap dalam ‘time warp’ zaman Pas bersama PR. Beliau masih menganggap Pas pembangkang dan masih bersama kami! Harap beliau dapat bebaskan mindanya dari terus terperangkap dalam zaman itu kerana kalau tidak PRU ke 15 akan melihat beliau terus meletakkan harapan pada Pas.

Sudah pasti apabila jumlah undi sudah berkurangan atas sebab sebahagian dibawa Pas, maka perlu undi ganti untuk mencukupkan supaya PH boleh mencapai kemenangan. Dan ini telah berlaku dengan pengundi Umno/BN berpindah mengundi PH. Apa yang menyebabkan sebahagian pengundi Umno/BN berpindah?

Perbezaan ketiga – Analisa nak cari satu faktor

Saya tidak menganggap bahawa punca sebahagian pengundiUmno/BN berpindah mengundi PH disebabkan hanya satu faktor. Sepertimana saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, banyak faktor menyumbang kepada perubahan itu. Ini termasuk peranan Rafizi, kesedaran umum di kalangan rakyat yang dihasilkan oleh ramai pihak (NGO) dan juga peranan Tun Mahathir. Saya tak pernah mengatakan ianya peranan Tun Mahathir semata-mata tetapi saya turut tidak menafikan peranan Tun. Ini mungkin kerana analisa saya tidak beragenda.

Pendekatan ‘satu faktor’ ini biasa digunakan mereka yang mempunyai agenda tertentu. Sebagai contoh, “semua salah DAP” atau “semua salah Tun” atau “semua kerana Anwar”. Maaf, saya tak pernah mengikut mazhab ini.

Oleh kerana saya menghargai semua yang menyumbang kepada kemenangan PH tempoh hari, maka saya terus menyarankan supaya pendekatan yang sama, Grand Coalition antara semua pembangkang digunakan semasa PRU ke 15. Untuk makluman Saudara Zukri, saya tidak pernah juga menafikan faktor Anwar Ibrahim.

Beliau menyebabkan sebahagian undi asal PH kekal bersama PH apabila Pas meninggalkan PH. Sokongan asas ini ditambah dengan undi baharu dari sebahagian pengundi Umno/BN dan ini yang membawa kemenangan.

Gabungan segala punca sokongan ini, samada Rafizi, usaha NGO, Tun Mahathir, Anwar dan sebagainya, adalah rahsia kemenangan PH.

Perbezaan ke-empat – PH bertanding sebagai satu parti pada PRU ke 14

Saudara Zukri menyebut bahawa Tun Mahathir tidak berpengaruh kerana apabila bertanding 52 kerusi Parlimen, calon-calon PPBM hanya menang 13 daripadanya.

Maafkan saya Zukri, tetapi bukankah kami semua bertanding atas tiket PH pada ketika itu sambil menggunakan lambang PKR? Maka tidakkah kekalahan calon PPBM sebenarnya adalah kekalahan calon PH? Kalau calon PKR yang bertanding di kerusi tersebut, adakah keputusannya akan berbeza?

Kalau nak tunjuk calon PPBM tiada sokongan berdasarkan 52 kerusi ditandingi mereka, sila bandingkan prestasi calon PR pada PRU ke 13 di kerusi tersebut dengan prestasi PH pada PRU ke 14. Sila tentukan berapakah jumlah undi yang diperolehi calon PR pada PRU ke 13 dan setelah dikurangkan jumlah itu dengan jumlah undi yang diperolehi PAS pada PRU ke 14 di kerusi yang sama, maka bandingkan dengan jumlah undi calon PH (PPBM).

Kalau jumlah undi calon PH (PPBM) adalah kurang dari jumlah undi calon PR setelah ditolak undi diperolehi Pas, barulah boleh dikatakan undi calon PH merosot atas sebab PPBM dan Tun tiada sumbangan! Kalau sebaliknya, ini bererti walaupun ada penambahan, namun ianya tidak mencukupi untuk mengatasi undi Umno/BN kerana ianya kawasan kuat Umno/BN.

Perbezaan ke-lima – Analisa ke atas Kelantan dan Terengganu

Kelantan dan Terengganu memang berbeza dengan Negeri-negeri di Pantai Barat. Pada PRU ke 13, PR menang di Kelantan tetapi kalah di Terengganu. Undi PR di Pantai Timur pada PRU ke 13 majoritinya adalah penyokong Pas. Maka pada PRU ke-14, apabila Pas bersendirian, undi PH merudum.

Pada masa yang sama, telah diramalkan oleh beberapa pihak, BN akan menang kedua-dua Negeri. Ini telah menyebabkan ramai penyokong PH mengundi calon Pas untuk menghalang kemenangan Umno/BN. Mereka menganggap tiada manfaat mengundi calon PH kerana pasti akan kalah maka lebih baik undi Pas untuk halang kemenangan Umno/BN. Ini kerana seperti Zukri mereka menganggap Pas sebagai pembangkang.

Maka dengan bantuan penyokong PH, Pas memenangi Kelantan dan Terengganu. Sambil itu calon-calon PH, samada dari AMANAH, PKR dan PPBM hilang deposit kerana sebahagian penyokong mereka mengundi Pas. Sebenarnya Umno/BN mengharapkan penyokong PH mengundi calon PH supaya Umno/BN menang kedua-dua negeri. Itu sebahagian dari strategi mereka.

Prestasi di Kelantan dan Terengganu tidak bererti PH tiada sokongan Melayu. Ia hanya bererti Melayu Kelantan dan Terengganu begitu lama hidup dengan politik Pas lawan Umno sehingga PRU ke 14 sekalipun tetap dipengaruhi dinamika Pas lawan Umno.

Perbezaan ke-enam – Cara analisa statistik

Akhir sekali adalah perbezaan cara menganalisa statistik.

Bagi saya statistik yang ditampilkan Zukri membuktikan kebenaran dakwaan saya. Bagi Zukri sebaliknya. Statistic sama, kesimpulan berbeza!

Pada Zukri yang penting adalah pada PRU ke 13, PR memperolehi 36.7% undi Melayu Semenanjung dan pada PRU ke 14, PH memperolehi hanya 25.47%! Maka, mengikut Zukri, sokongan Melayu Semenanjung telah merosot dan dengan itu Tun tidak menyumbang kepada sokongan Melayu terhadap PH.

Analisa saya sebaliknya. Pada PRU ke 13, PR mendapat 36.7%. Ini termasuk jumlah undi yang disumbangkan oleh Pas yang bersama PR pada ketika itu. Semasa PRU ke 14, Pas bertanding sendiri dan mendapat 28.14% undi Melayu Semenanjung. Dengan itu PH sepatutnya hanya akan mendapat (36.7% – 28.14%) 8.56% sahaja. Namun PH mendapat 25.47%.

Maka persoalannya, macam mana boleh dapat 25.47%, sedangkan sepatutnya 8.56%? Ianya datang dari yang mengundi Umno pada PRU 13 tetapi mengundi PH pada PRU ke 14. Jumlah undi lebih dari yang dijangka datangnya dari pengundi Umno/BN dan oleh itu sokongan Umno/BN merosot dari 63.3% pada PRU ke 13 kepada 46.29% pada PRU ke 14.

Membandingkan keputusan dua penjuru dengan keputusan tiga penjuru sepertimana yang dilakukan Zukri adalah tidak wajar. Saya yakin Zukri sendiri mengetahuinya tetapi tetap melakukannya untuk membuktikan apa yang ingin beliau buktikan.

Kesimpulan

Amat sukar apabila ada yang ingin menegakkan benang yang basah. Walauapapun dikemukakan hujah yang jelas, dia akan tetap dengan pendiriannya. Saya tidak bermaksud meyakinkannya dengan hujah saya.

Dia boleh terus berpegang pada apa sahaja yang disukainya, walaupun jelas meleset. Saya sekadar menjelaskan pada yang ingin mendengar dan menilai atas kekuatan hujah, bukan kecenderungan dan bias tertentu.

Bagi AMANAH, sepertimana yang diputuskan dalam Konvensyen kami, Grand Coalition adalah jalan terbaik untuk PH semasa PRU ke 15.

Kita hargai 108 yang berdiri bersama semasa bacaan ketiga belanjawaan dan mereka inilah asas kukuh untuk kita bina kembali kekuatan PH dan mendapat kerajaan pada PRU ke 15.

 

TULISAN SEBELUM INI

BAHAGIAN I : Sepatutnya PH kalah dalam PRU-14: Grand Coalition peluang terbaik untuk Anwar jadi PM

BAHGAIAN 11: Sepatutnya PH kalah dalam PRU 14, tetapi keajaiban berlaku