Malaysia Dateline

Sepatutnya Zafrul tanggungjawab ke mana wang negara dilabur, tegur MAPIM

Penjelasan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa kementeriannya tidak terlibat dalam operasi bank harian termasuklah isu pinjaman tidak bercagar bernilai RM2.51 bilion kepada pengendali kapal persiaran Genting Hong Kong adalah amat serius dan perlu diambil tindakan.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, pendedahan isu tersebut perlu diberi perhatian segera dan Zafrul harus bertanggungjawab terhadap kepentingan wang negara termasuk di mana ia dilabur dan bagaimana ia diurus.

Malah kata beliau, kerajaan mempunyai kepentingan dalam ketiga-tiga buah bank terlibat melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Amat menghairankan apabila Zafrul secara terang-terangan menyatakan bahawa pinjaman tanpa cagaran adalah suatu perkara biasa sedangkan ia disalurkan kepada syarikat judi luar negara.

“Beliau sepatutnya lebih sensitif di kala rakyat begitu kecewa dan resah dengan industri judi yang mana ianya juga tidak selaras dengan prinsip syariah sedangkan negara mempunyai panel syariah yang telah diwujudkan bagi memantau perjalanan ketiga-tiga agensi kewangan terbabit.

“Seharusnya menteri agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan dirujuk terlebih dahulu bagi memastikan urusan dana yang melibatkan wang orang Islam tidak bercanggah dengan prinsip syariah,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, Zafrul tidak wajar memandang enteng isu ini dengan alasan kerajaan tidak campur tangan operasi bank sedangkan agensi yang ditubuhkan adalah bagi maksud pemantauan menurut prinsip syariah.

Sejajar dengan itu Mohd Azmi menegaskan agar menteri kewangan tidak harus lepas tangan dan ia perlu dipantau supaya tidak melanggar prosedur kewangan perbankan yang bertanggungjawab kepada pemegang taruh.

Katanya lagi, adalah tidak wajar sama sekali sekiranya Zafrul selaku menteri kewangan mengabsahkan pinjaman ini dan tidak berasa bersalah kerana menganggap ia adalah amalan biasa.

“Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, PNB dan KWSP perlu mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh Zafrul,” ujarnya.