Sepenggal bermakna kembali zaman gelap dan sia-sia belaka!

Ahmad Lutfi Othman

Ahmad Lutfi Othman

Banyak kalangan mendakwa anggota kerajaan hari ini masih bermentaliti pembangkang. Mungkin 11 bulan memerintah berjaya mengubah sikap mereka secara umum, tetapi kecenderungan yang diwarisi berdekad lamanya tidak berjaya dikikis sepenuhnya.

Mentaliti pembangkang sering dikaitkan dengan kecenderungan menyalahkan pihak lain semata-mata. Dalam konteks semasa, meletakkan segala punca masalah negara yang bertindan-tindih ini kepada regim terdahulu, Umno-BN. Minda oposisi juga kerap dihubungkan dengan kegagalan menawarkan idea, dasar dan program baharu yang lebih baik serta praktikal.

Mengimbau kemenangan PRU14 pada 9 Mei 2018 itu, banyak pihak mengakui ia tidak terduga; dalam sekelip mata pembangkang yang hebat mengkritik tiba-tiba bertukar menjadi menteri, menerajui posisi strategik dan jawatan kanan. Ramai tokoh yang telahpun melepasi usia pencen, kini perlu datang awal ke pejabat setiap pagi menggalas tanggungjawab besar, suatu disiplin baru yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Dr Mahathir Mohamad berulang kali menyebut, manifesto Pakatan Harapan dirangka dalam keadaan mereka menjangka tidak akan menang PRU14. Justeru, ada janji-janji yang sememangnya sukar dilaksana, apatah lagi tanpa mengetahui tahap kesihatan sebenar kewangan negara dan kekangan lain yang melambatkan pelaksanaannya.

Pengerusi PH itu juga mengakui situasi amat berbeda di kala beliau dilantik perdana menteri buat kali pertama pada 1981. Bukan sahaja prestasi ekonomi baik ditinggalkan pendahulunya, Tun Hussein Onn dan tiada atau kurang legasi buruk yang diwarisi, malah anggota kabinetnya tidak sahaja berpengalaman tetapi jauh lebih senior daripada beliau sendiri. Dr Mahathir juga menerajui Umno, parti teras dalam BN, yang dilihat mendominasi gabungan pemerintah, memudahkannya membuat keputusan penting.

Dalam sesi wawancara eksklusif dengan The Star, Dr Mahathir mengakui terpaksa berkerja tiga kali lebih banyak berbanding dahulu, sambil berkata, “Saya harus bekerja sepanjang hari … Terdapat banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana beberapa menteri saya tidak cukup arif dalam mengendalikan masalah berkenaan, jadi mereka datang kepada saya.”

Tambah Dr Mahathir, beberapa menterinya juga dilihat masih dalam mentaliti pembangkang yang galak mengkritik dan bukannya melaksanakan dasar sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Namun begitu, kombinasi tokoh-tokoh berpengalaman dalam pentadbiran Pakatan Harapan — malah cukup lama eksperimennya, termasuk mengetuai jentera pentadbiran selama 22 tahun — bersama pemimpin yang ranum idealisme adalah jalinan kompak yang sesuai untuk menjayakan misi penting, memulihkan negara. Sekurang-kurangnya mereka tiada pengalaman rasuah, menyalahgunakan kuasa dan mencuri dana awam!

Bayangkan, peralihan kepemimpinan negara berlaku tanpa Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin ataupun pemimpin-pemimpin orang pernah menerajui kerajaan negeri, seperti Azmin Ali dan Lim Guan Eng. Proses pembelajaran dan keserasian dapat dipercepatkan, selain lebih mudah mengesan elemen-elemen sabotaj dalam perkhidmatan awam jika ada.

Begitu pun, masih banyak kelemahan, percanggahan atau tiada persefahaman (juga timbul kenyataan kurang cerdik) sesama anggota kabinet, sehingga dilihat ada aksi U-turn yang mengelirukan. Ada kalanya menteri tersasul seolah-olah nampak sedikit ego dengan jawatan yang disandang. Ya, kemahiran serta kebijaksanaan diplomasi datang bersama pengalaman dan kematangan.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, yang juga penasihat media perdana menteri berulang kali menegur. Dalam tulisan di blognya, beliau menekankan, antara sungutan dan rungutan yang sering kita dengar mengenai menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri PH ialah mereka tidak cukup kerap turun padang melawat projek dan bertemu rakyat jelata.

“Malah saya lihat dengan mata kepala saya sendiri betapa kekoknya sesetengah daripada mereka apabila bersama rakyat jelata. Ada yang seolah-olah mahu dipagari oleh pegawai dan pengawal supaya boleh mengelak daripada mendengar keluh kesah rakyat jelata.”

Secara personal, sukar juga bagi saya, selepas begitu lama menjadi pengkritik kerajaan, tiba-tiba beralih kepada pentas berbeda. Iaitu mencari sisi positif terhadap dasar-dasar baharu pemerintah, tanpa melupakan tugas untuk terus menegur dan mengingatkan. Apatah lagi menginsafi hakikat peranan orang media sebagai “anjing penjaga” dan agen semak-imbang.

Bukan mahu meremehkan fungsi oposisi, namun semua mengakui, tugas memimpin dan mentadbir kerajaan pastinya jauh lebih sukar daripada mengkritik dan membangkang. Sementalahan pula ditambah-sukar lagi dengan warisan kebejatan yang berskala gergasi, juga bersekali jentera pentadbiran sama, dipusakai turun-temurun sejak enam dekad.

Berlapang dada 

Teringat pilihan sukar apabila Dr Mahathir mula mengkritik keras Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dan mengatur persefahaman bersama barisan pembangkang, serta menjalin hubungan dengan Anwar Ibrahim. Rekod bekas PM ke-4 itu, terutama dalam konteks hak asasi manusia dan amalan demokrasi menimbulkan banyak persoalan. Namun, saya tidak bermasalah untuk mengalu-alukan kehadirannya bersama pembangkan bagi menumbangkan Mahathir. Lebih daripada itu, saya berlapang dada, malah melihatnya sebagai satu kelebihan apabila Konvensyen Pakatan Harapan pada Januari 2018 menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Saya tidak teragak-agak untuk mendukung resolusi PH itu, kerana tiada pilihan lebih baik, selain menyedari kekuatan Dr Mahathir untuk menghimpun sokongan, khususnya pengundi Melayu luar bandar. Faktor Mahathir juga berjaya menyanggah propaganda Umno-BN yang mendakwa PH didominasi atau nenjadi kuda tunggangan DAP.

Kini, menjelang setahun tarikh gemilang 9 Mei, suasana bulan madu telah berlalu. Pembangkang ghairah mendakwa kerajaan PH hanya mampu bertahan satu penggal. Gabungan Umno-Pas didakwa boleh mengatasi PH dalam PRU15. Jumlah undi kedua-dua parti itu, dalam pilihan raya lalu, untuk hampir 30 kerusi Parlimen boleh mengalahkan calon PH yang menang di situ. Isu-isu Melayu-Islam dicanang sebagai sandaran serta modal politik, dan ia nampak mempengaruhi audien. Sekurang-kurangnya oposisi disuntik keyakinan tinggi untuk kembali memerintah.

Saya mengakui, tidak ramai menyedari pembaharuan agresif yang dipacu kerajaan baharu. Dalam masa sama terdapat kelemahan, termasuk prestasi anggota kabinet dan menteri besar serta exco negeri. Prestasi majoriti MB Pakatan Harapan turut dipersoal secara terbuka. Juga nampak semacam kecelaruan komunikasi politik. Keterbukaan turut mengundang risiko negatif apabila tidak diurus dengan bijaksana dan matang. Namun masing-masing dalam proses pembelajaran dan penyesuaian. Harapnya, mereka lebih cepat belajar dan tidak membuatkan rakyat hilang sabar.

Sepanjang kerjaya sebagai wartawan dan penulis politik, sejak pertengahan 1980-an, selama 30 tahun, saya tidak segan untuk mengakui lebih cenderung kepada pembangkang. Bermula fajar indah 10 Mei 2018, biarpun diselimuti gebar keuzuran, saya menukar posisi mendukung pemerintah yang bertekad membawa tajdid dan reformasi. Sekurang-kurangnya trend kemungkaran politik-ekonomi berjaya ditamatkan dan sistem kenegaraan dibetulkan.

Tidak boleh digambarkan kefasadan tambah meluas jika regim Umno-BN masih berkuasa. Kita bagai melintasi medan tempur penuh jerangkap peledak. Alhamdulillah, demokrasi berjaya dipulihkan, kecurian dana awam dihentikan, rasuah dibongkar dan korupter satu demi satu diseret ke mahkamah, akta drakonian menunggu masa dipinda-mansuh, beban peningkatan kos hidup serius ditangani.

Kerajaan perlu serius menangani keresahan awam. Korupsi bukan satu-satunya punca kejatuhan regim. Begitu juga kecurangan demokrasi. Mungkin tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu (2004) dan di Kedah (2013) bukan contoh sesuai tetapi boleh dijadikan iktibar. Pembaharuan perlu kebijaksanaan, prioriti dan satu bentuk kemahiran. Jangan cemari dengan aksi melampau atau mempamerkan mesej yang tidak diperlukan, walaupun bertujuan baik. Niat yang tulus tanpa perlaksanaan berhikmah dan penjelasan yang membumi mungkin tidak mencapai natijah yang diharapkan.

Tidak mudah menyuntik keyakinan buat rakyat bangkit menumbangkan regim yang berakar 61 tahun. Segala impian melihat Malaysia yang lebih adil, makmur dan sejahtera akan lebur jika PH bertahan hanya satu penggal. Cita-cita luhur agar setiap rakyat dapat berteduh di bawah lembayung redup yang damai akan berkubur andai BN kembali berkuasa.

Justeru, pengalaman setahun lalu penuh warna-warni itu memerlukan proses pembetulan segera. Hendaknya mentaliti pembangkang sudah melalui transformasi secukupnya sebagai peneraju perubahan. Gangguan bercirikan perkauman usah diperkecil tetapi tidaklah sampai kelihatan panik menanganinya. Hadam psikik kelompok Melayu dan olah secara bersama oleh semua parti PH. Belajar berdiplomasi dengan segala rukun yang penuh seni itu.

Idealisme seluhur dan secantik mana sekalipun akan menjadi puing-puing berterbangan jika PH sekadar kerajaan satu penggal. Kesempatan berharga yang gagal dimanfaatkan merupakan jenayah tidak terampun.

Teman saya, editor dan penulis berbakat, Fathi Aris Omar menitipkan pesan panjang yang bermanfaat:

“Ramai demokrat dan aktivis mahu perubahan tulen. Tidak ramai yang berfikir bagaimana mengekalkan kuasa yang mendukung perubahan itu.

“Perubahan sejati, bagi mereka, mestilah disegerakan tanpa tolak ansur. Tolak ansur dengan rakyat, demi mengekalkan kuasa, dalam usaha melaksanakan perubahan dianggap “wayang politik” sahaja.

“… Mereka tidak mahu melihat dinamika evolusi perubahan dalam demokrasi yang mereka laung-laungkan itu.

“Aktivis dan demokrat seharusnya tahu meletakkan perimbangan antara perubahan yang berdikit-dikit dengan usaha mengekalkan kuasa.

“Kuasa yang mendukung proses demokrasi mesti dipertahankan atau dikembangkan. Kita kena jadi “rakan kongsi strategik” dalam proses ini.

“Tiada guna perubahan demokratik jika hilang kuasa.
Demokrasi harus dikembangkan melalui Kuasa yang mendukungnya. Namun proses ini perlu rundingan dan tolak ansur.

“Yang kita cita-citakan, dalam perubahan demokratik, bukan usaha kosmetik; perubahan sekadar di atas kertas dan perundangan tetapi gagal jelira dalam sosio-budaya masyarakat.

“Kita mahu perubahan yang menanam nilai demokrasi, yang mengubah jiwa, sikap dan tingkah laku. Sebab itu, Kuasa yang mendukung proses ini perlu dipertahankan, sekurang-kurangnya dua atau tiga penggal pilihan raya. Perubahan segera dan gopoh-gapah dalam tempoh sepenggal bukan pilihan kita. Sepenggal ertinya tiada perubahan!”

Pengundi beratur sebelum sewal 7.30 pagi sebelum proses pembuangan undi dimulakan

Tidak mudah menyuntik keyakinan buat rakyat bangkit menumbangkan regim yang berakar 61 tahun.