Seperti bersatu bangga di Olimpik, rakyat perlu serupa tolak skandal 1MDB

Seperti bersatu bangga di Olimpik, rakyat perlu serupa tolak skandal 1MDB

Timbalan presiden parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub mengajak rakyat Malaysia yang bersatu hati menyokong wakil negara di Sukan Olimpik turut bersatu menentang skandal 1Malaysia Development Berad (1MDB).

Memulakan ucapannya dengan mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang meraih pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki malam tadi, beliau berkata alangkah baiknya rakyat turut memberikan sokongan yang sama kepada pembangkang yang sedang menentang penyelewengan dalam pentadbiran negara.

Orang ramai di majlis ceramah AmanahBeliau berkata, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agam dan bangsa menunjukkan semangat dan luar biasa kepada Chong Wei demi mengharumkan nama negara.

“Alangkah baiknya suara yang bersorak dan menyokong itu yang punya satu matlamat dan niat agar nama harum negara ini terus diperjuangkan.

“Maka saya mengajak semua rakyat, suara-suara yang bersorak memberikan sokongan untuk kita menentang kezaliman paling besar, menentang penjenayah 1MDB,” kata beliau dalam program Bicara Rakyat Bersatu di Jerantut, Pahang malam tadi.

Program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Pahang Bersatu itu turut menampilkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekas menteri besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir.

Masing-masing memulakan ucapan dengan merakam ucapan tahniah kepada Chong Wei yang tewas 18-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia dari China, Chen Long.

Mereka menyifatkan Chong Wei sebagai wira negara yang telah menjalankan tanggungjawabnya untuk mengharumkan nama negara.Hadir bersama keluarga

Salahuddin juga berkata, semangat Chong Wei untuk mendapatkan pingat untuk Malaysia membuktikan bukan kaum Melayu sahaja yang sayangkan Malaysia.

“Saya harap politik perkauman tidak ada tempat lagi dalam negara kita. Kalau saya boleh wakilkan Datuk Chong Wei sebagai wira berhempas pulas untuk mendapat sebitir pingat dan kilauan pingat-pingat dari sukan Olimpik ini adalah melambangkan betapa rakyat dan mereka sayangkan negara ini.

“Semua rakyat bersorak, memberikan sokongan. Tepukan tangan kita bila melihat aksi mereka. Tidak kira siapa kita sama ada Melayu, Cina India, termasuk kaum-kaum di Sabah dan Sarawak semuanya mahu mereka menang untuk negara,” katanya.

Sebelum ceramah bermula, orang ramai sama-sama menonton pertarungan sengit antara Chong wei dan Chen Long di skrin layar yang disediakan pihak penganjur.

 

TAGS