Sepetang istimewa dengan Dr Dzul

Dinsman menjelaskan permasalahan seni-budaya Malaysia kepada Menteri Kesihatan.

Pertemuan Seni-Budaya 100 Hari Malaysia Baru alhamdulillah telah berlangsung dengan baik seperti dirancang, pada 13 September, di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam.

Diikuti dengan pertemuan Paksi (Seniman Paksi Rakyat) dengan Ketua Menteri Melaka, di pejabatnya di Melaka, pada hari berikutnya, 14 September.

Kemudian pada Selasa 18 September, Paksi menyertai Grup Prihatin Seni berjumpa dengan TKSU Kementerian Kebudayaan bersama pegawai-pegawainya, di Kementerian berkenaan di Putrajaya, pada jam 2.30 petang; diikuti dengan perjumpaan dengan Menteri Kesihatan, di pejabatnya di Putrajaya juga, pada jam 4.30 petang.

Alhamdulillah, nampaknya jadual perancangan dan perbincangan seni-budaya Paksi selepas 100 hari kerajaan Malaysia baru, dengan pihak-pihak yang berwibawa, agak rancak.

Atau mulai rancak, setelah berlalu musim 100 hari dimana Paksi lebih banyak memerhati perjalanan kerajaan baru yang digerakkan oleh ramai kawan-kawan dari gerakan Reformasi pimpinan Anwar Ibrahim selama 20 tahun lalu itu.

Pertemuan Seni-Budaya 100 Hari.. itu dihadiri oleh sekitar 35 orang tokoh seniman-budayawan yang berminat membincangkan cabaran dan masa depan seni-budaya secara umumnya, dalam situasi baru Malaysia pasca PRU14.

Banyak pandangan dan idea menarik ditimbulkan, yang sebahagiannya mungkin akan diterjemahkan Paksi dalam agenda aktivitinya akan datang.

Pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka yang diketuai Nasser Mohamed (saya tak dapat hadir kerana sebab tertentu) membawa khabar gembira, kerana Adly Zahari (KM) menyambut baik beberapa cadangan program yang akan dilaksanakan Paksi di Melaka, bersama dengan Ikatan Persuratan Melayu (IPM) Melaka.

Manakala pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) dan pegawai-pegawainya itu membincangkan satu perkara khusus, yang belum sempat mencapai apa-apa persetujuan, dan perlu kepada perbincangan lanjutan.

Paling istimewa dan menggembirakan ialah sesi pertemuan dengan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, yang kebetulan sebelum ini pernah menginisiatifkan gerakan seni-budaya di dalam parti Pas, dan menjadi Pengerusi Lajnah Seni-Budaya Pas yang pertama; iaitu sebelum parti itu mengalami krisis kepemimpinan yang mengakibatkan perpecahan dan melahirkan parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH), dan Dr Dzul (panggilan namanya yang popular) menyertai parti AMANAH.

Apa yang menggembirakan kami rombongan Paksi sehingga saya menganggapnya satu pertemuan istimewa ialah sikap dan pemikiran Dr Dzul terhadap seni-budaya dan terhadap Paksi, yang bagi saya adalah suatu pernyataan sikap dan pemikiran Malaysia baru, dengan pandangan yang sangat positif terhadap peranan seni-budaya dan tempatnya yang penting dalam masyarakat dan kerajaan.

Pertemuan yang dihadiri oleh tujuh orang itu empat orang di pihak Paksi, bersama Dr Dzul dan dua orang pegawainya berlangsung dalam suasana yang santai, penuh mesra dan dengan perbincangan yang sangat terbuka dan terasa keikhlasannya. (Di pihak Paksi ialah Nasser Mohamed, Yassin Salleh, Yasleh Rita Ayu dan saya).

Dan perbincangan pun tidak tertumpu dan terbatas kepada ruang cakupan Kementerian Kesihatan sahaja tetapi melampaui ruang dan batasan tersebut.

Ia kesediaan teman seperjuangan untuk sama-sama saling membantu ke arah mencapai matlamat perjuangan bersama ke arah Malaysia baru dan umat yang maju sejahtera.

Beberapa persetujuan pun segera dicapai tanpa perlu mempersoalkan masalah. Misalnya akan mengadakan beberapa program berkaitan terdapatnya lebih seribu manuskrip perubatan Melayu lama yang memerlukan kajian dan permanfaatan selanjutnya.

Hal ini segera saya maklumkan kepada Dr Alinor yang pernah bercakap mengenainya dengan saya, dan Dr Alinor pun segera bertindak ke arah pelaksanaannya.

Saya sebutkan satu itu sebagai contoh sahaja. (Tidak perlulah disebutkan yang lain lagi buat masa ini). Maksud saya contoh bagaimana seorang menteri melihat, menanggapi dan memberi tindak balas kepada hasrat dan keinginan golongan seniman-budayawan-intelektual untuk sama-sama bekerja bersama dengan pihak kerajaan, bagi mencapai matlamat yang sama.

(Jadi, tidaklah segera terlintas yang pertama di fikirannya bahawa golongan yang datang ini ialah golongan yang hendak mencari kesempatan membuat keuntungan untuk diri dan golongannya, seperti yang sering terjadi, dan pernah kami alami, bahkan baru-baru ini pun, pasca PRU14.)

Seperti kami persetujui dalam perbicangan petang itu, bahawa antara cabaran utama yang dihadapi Malaysia baru ialah soal sikap dan pemikiran, khasnya di kalangan pegawai-pegawai kerajaan, yakni soal nilai; yang mengikut Yassin Salleh, telah rosak teruk akibat kepimpinan kleptokrat Najib sebelum ini.

Saat menghayati perbincangan mesra petang itu fikiran saya barangkali terlalu cepat melangkah ke hadapan.

Terkesan daripada idea Mansor Putih dalam pertemuan 13 September, yang mengatakan di Amerika tidak ada pun Kementerian Kebudayaan tetapi seni-budayanya sangat maju; maka fikiran saya mulai bergerak ke arah itu.

Melihat kefahaman, penghayatan dan komitmen seorang Menteri Kesihatan terhadap seni-budaya, saya mula membayangkan kalaulah ada beberapa orang lagi menteri kita yang bersikap dan berpemikiran begitu, biar apapun kementeriannya alangkah cerahnya langit seni-budaya kita dan alangkah seronoknya para seniman-budayawan-intelektual kita menghirup udara kreatif, berilmu dan berkreativiti di bumi indah kita ini.

Tentunya itu adalah suatu keterujaan sahaja! Belum tahu lagi bagaimana selanjutnya selepas ini.

Dan sudah ada pun orang yang bertanya apakah Paksi sudah mulai mengubah strategi, prinsip dan matlamat?

Terima kasih kepada orang yang bertanya. Itu menunjukkan keprihatinannya kepada perjuangan Paksi.

COMMENTS

Wordpress (0)