Sepuluh ubi kayu Sarawak

Sepuluh ubi kayu Sarawak

ULASAN: Tidak sukar untuk mengunyah sepuluh ubi kayu yang digoreng waktu hujan petang begini. Sambil minum teh nipis, aku melayan sembang politik di Jalan Main Bazaar, menghadap Sungai Sarawak. Selepas dinasihati oleh doktor untuk tidak mengambil teh tarik dan kopi yang sarat dengan caffeine, aku terasa hilang selera minum di kedai. Kecuali untuk sembang politik tanah air yang serba memahitkan.

Sengaja kupilih sepuluh ubi kayu yang dipotong dan dihidang dalam satu piring agak sederhana besarnya sebagai kudapan petang itu. Sepiring tiga ringgit. Abang pelayan bertubuh sasa itu sudah berniaga di situ sejak kecil lagi. Bilangnya, dia adalah generasi ketiga berniaga ubi kayu goreng Sarawak.

‘Macamana anta muda-muda dah jadi Pengerusi negeri?’ Aku mulakan perbualan dengan soalan mukadimah. Fidzuan tersengeh. Ini bukan pertama kali soalan itu diajukan padanya. Dalam usia penghujung 30an, anak muda itu sudah memikul amanah sebagai Pengerusi AMANAH Sarawak. Sudah letih menjawabnya. ‘Susah muda-muda jadi ketua’, aku menambah sementara menanti jawapannya. Fidzuan hanya mengangguk beberapa kali.

‘Memanglah sebaik yang lebih tua, elok jadi ketua. Tetapi kalau yang tua senang dipimpin oleh orang muda, atau orang muda senang dipimpin oleh orang tua, tiada masalah’. Fidzuan semacam berfalsafah. Benar.

Imam Mawardi juga menyebutkan salah satu ciri seorang pemimpin ialah dari segi usianya. Kalau dalam kitab siasah Melayu lama ada membahas tentang pemilihan pemimpin. Jika sama-sama tua, pilih hujah lain seperti kedudukannya, hartanya, ilmunya hingga diperincikan sampai saiz alat kelakian pun dijadikan indikatornya.

Selepas Muktamar di Kuala Selangor yang menyaksikan upacara pembersihan dalam parti, Fidzuan ambil keputusan nekad untuk keluar parti tua itu. Baginya parti tua itu tidak lagi menghargai orang yang sudah lama berjuang dalam parti, yang menghabiskan seluruh usianya pada jalan perjuangan suci ini.

Generasi gigi susu yang ada sekarang hanya tahu merenggek dan menangis. Sesekali merimaskan. ‘Anapun orang muda, Prof.’ Fidzuan membenarkan hujahnya sendiri. ‘Ana bukan Prof!.’ Aku terasa agak janggal dengan gelaran yang bukan selayaknya. Ini juga merimaskan. Sikit ilmu agamanya sudah dipanggil tuan guru. Kerana mengajar universiti, ada Phd, terus dianggap hebat. Pendapatnya ada nilai intelektual. Masyarakat kita masih tebal feudalnya, masih konservatif. Sangat obses dengan gelaran.

Bercerita pasal orang tua jadi pemimpin, ia mengingatkan aku dengan Tuan Guru Hj Ahmad, bekas calon Pas Dun Sg. Manik. Tuan guru itu sangat tua tapi tekun mengajar. Ketika hendak solat, kami minta tuan guru menjadi imam. Tapi beliau menolak beberapa kali sehinggalah suatu ketika beliau bersetuju menjadi imam. Kami memang senang tuan guru itu menjadi imam. Bacaannya pun terketar-ketar. Solatpun rasa khusyuk. Ini soal hati dan keyakinan. Jika hati sudah benci, sekalipun imam membaca macam Sudais, khusyuk tidak datang juga.

‘Ana ni ibarat kata tiada rotan, akarpun berguna. Setakat nak hendak perkukuhkan PH dan lawan BN, InsyaAllah ana dan sahabat-sahabat di Sarawak tidak mahu buang masa pasal tua-muda sebagai kelayakan jadi pemimpin.’ Fidzuan berkata sambil memperbetulkan kedudukan kerusinya. Dia bukan tergucil.

Dulu Mahathir cakap Tok Guru Nik Aziz tua untuk memimpin Kelantan. Sekarang Mahathir jauh lebih tua mahu diangkat jadi PM. Bukankah ini ‘cakap tak serupa bikin’? Inilah sifir politik yang gagal difahami kelompok berfikiran lempeng. Selapis cara berfikir.

Dalam politik demokrasi, indikator kuasa bukan ditentukan fakta yang dianggap fakta. Andaian dalam politik sangat pelbagai serta tidak pernah tetap. Sebab itulah, politik itu seni. Seni gubahan, seni silap mata dan seni persembahan. Jika bijak mengubah, sampah di ‘recycle’ jadi cantik. Jualpun mahal. Jika dalam seni persembahan, kadangkala hero nampak hebat apabila sengaja diwujudkan watak antoganis atau badut yang bodoh.

‘Jadi, anta setujulah Mahathir jadi PM sekali lagi?’ Soal aku seakan mempersoalkan konsesus yang sudah dikonvesyenkan. ‘Mengapa pula tidak?’ Fidzuan yakin menjawab walaupun aku tahu dia dahulu memusuhi si diktator tua itu. Akupun sama saja. Politik kami memang diasuh sebegitu sejak dalam usrah hingga ke muktamar. Politik tahi cicak. Hitam putih. Tipikal sekali.

‘Pada analah, pada masa sekarang inj, soal Mahathir bukanlah mauduk utama. Buang masa kalau berforum tentang itu. Soal nation, soal masyarakat seharusnya lebih utama.’ Pengerusi AMANAH Sarawak itu cuba mengalih tajuk sembang kami sambil dihirup kopi panas itu.

Nation, masyarakat dan pemimpin tidak boleh dipisah-pisahkan. Saling pengaruh mempengaruhi. Pemimpin buruk adalah gambaran keburukan masyarakat dan nation. Pemimpin buruk diangkat oleh masyarakat yang buruk. Begitulah sebaliknya, masyarakat yang bijak akan mengangkat pemimpin yang bijak. Tiada yang terdahulu, tiada yang kemudian.

‘Jadi soal legal, physical, mental, moral, psikologi, demografi, falsafah, genetik, dan sebagainya itu, bagaimana?’ Fidzuan minta aku mengulas wacana panas itu. Ubi kayu goreng semakin sejuk.

Orang berfikiran jenis kuih lempeng memang tidak faham perlunya kita berfikir secara kuih lapis. Setiap teks, ada konteksnya. Memahami konteks sesuatu teks memerlukan proses yang lebih kompleks. Bukan macam tuang bancuhan tepung pada kuali, agak menguning sikit, dibalik-balik berkali dan terus lempeng menjadi.

Memang benar Mahathir pernah kutuk sakan semua rakan pakatannya sekarang suatu ketika dahulu. Mahathirpun pernah kata beliau tidak berminat untuk jawatan PM, Muhyidin lebih layak dan sebagainya. Memang benar Mahathir berkali-kali menjalani pembedahan pintasan jantung. Ada pula yang sanggup mengira berapa kali Mahathir lupa. Tiada siapapun mampu menafikan senarai adik beradik Mahathir yang sudah mati kerana sudah tua.

Ini memang benar suatu fakta tetapi semua fakta itu adalah fakta beku. Fakta ini perlu dicairkan dengan adunan otak yang cerdas. Sesuatu fakta perlu dimasak. Dihidang dan digubah sehingga menyelerakan. Jangan terlalu ghairah, adunan tepung yang belum dimasak, dihirup habis. Takut cirit saja.

‘Kalau gitu, kitak buang ke Sungai Sarawak saja!’ Fidzuan ketawa. Akupun ketawa hingga abang pelayan berbadan sasa itu turut ketawa. Sepuluh fakta itupun tiadalah kami bahaskan sangat kecuali sepuluh ubi kayu goreng itu yang kami nikmati petang itu.

* Dr Muhaimin Sulam adalah pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan beliau juga adalah Naib Pengerusi AMANAH Negeri Perak.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0