Malaysia Dateline

Seputar kekalahan Trump

Trump kecundang di tangan Joe Biden sekali gus menjadi sebahagian dari ‘kelab presiden sepenggal’.

Presiden Amerika Syarikat ke-45, yang mendapat mandat pada 2016 dahulu, Donald J. Trump sudah dikalahkan di kotak undi dalam pemilihan serupa tahun ini.

Jumlah selamat 290 undi pemilihan atau electoral votes mengikut sistem pilihan raya AS menjamin bekas Naib Presiden parti Demokrat dari era Barack Obama, Joe Biden untuk dinobat sebagai Presiden Elect, atau Presiden Terpilih yang baharu. Biden hanya menunggu masa untuk memasuki semula Rumah Putih awal 2021 nanti, kali ini sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.

Kekalahan jelas Trump begitu pun tidak menumpulkan egonya. Dalam kiriman-kiriman di media sosial, Trump masih dilihat sebagai belum mampu untuk sepenuhnya menerima kekalahan diri.

Tentu sekali Trump tidak merelakan dirinya menjadi sebahagian dari ‘kelab presiden sepenggal’- yang ahlinya secara teknikal tidak sampai pun 10 orang. Menjadi ahli kepada kelab ini atas sebab kalah dalam pemilihan semula bererti anda seorang yang tidak disukai dan telah ditolak oleh rakyat. Sejarah akan sentiasa merakam nama anda sebagai satu contoh buruk.

Sebagai seorang narsis yang selesa meninggi diri, sentiasa yakin biarpun kerap membuat kesilapan, malah menganggap dirinya sendiri sebagai seorang genius perniagaan, politik, dan ekonomi – kekalahan ini tidak mungkin boleh diterima.

Trump sekarang masih lagi terus cuba menggugat keputusan pilihan raya melalui bantahan di mahkamah. Mungkin beliau ingin mengulangi kejayaan George W. Bush memenangi semula kerusi presiden apabila mahkamah membatalkan sebilangan undi yang diraih Al Gore pada 2000.

Mengulas kekalahan Trump akan mengambil ruang yang amat panjang. Ada 1,001 sebab bagaimana Trump sebagai presiden dianggap sebagai berita buruk buat Amerika dan dunia – sekurang-kurangnya buat sebahagian warga yang menolak nilai politik konservatif dan caca marba yang ditunggang Trump.

Kegagalan Trump bukan semata-mata disebabkan persepsi buruk olahan media arus perdana, media alternatif dan media sosial yang ditanggung dirinya sejak hari pertama diangkat sebagai presiden. Kegagalan Trump sememangnya adalah kegagalan dasar pentadbirannya sendiri.

Trump menjual dirinya sebagai seorang nasionalis konservatif yang mahu mengembalikan kegemilangan Amerika. Sepanjang kempen 2016 dahulu, Trump berikrar untuk memulangkan semula ‘hak’ rakyat – terutama pekerjaan dan peluang niaga yang dakwanya telah dirompak dan ditekan oleh warga asing dan ekonomi global, hasil dasar terbuka pentadbiran lampau.

Naratif ini berjaya terutama di wilayah-wilayah yang bersempadan dengan negara-negara jiran dan wilayah-wilayah yang dipanggil Bible Belt – ringkasnya wilayah kuat agama yang rata-rata rakyatnya adalah konservatif, tertutup, dan masih merindui perhambaan.

Donald Trump

Trump berkempen untuk menyelesaikan masalah rumit yang melingkari sistem politik dan ekonomi Amerika Syarikat melalui naratif yang mudah difahami dan diterangkan – namun jauh dari berkesan.

Naratif yang dibawa Trump ini hanya berupaya mengisi imaginasi cetek dan keluhan rakyat kebanyakan yang samada dengan sengaja atau tidak telah mengabaikan kompleksiti kedudukan dan kepentingan Amerika Syarikat dalam ekonomi global.

Bagaimana cara mengurangkan pekerja migran? Bina sahaja tembok di sepanjang sempadan negara. Persaingan dengan China? Sekat dan boikot urusniaga dengan negara tersebut tanpa mempersiapkan dasar jelas berkaitan pengeluaran yang selama ini bergantung dengan China.

Dasar luar Trump adalah dengan tidak campur tangan dalam krisis penting di luar negara – kononnya untuk menghentikan tanggapan AS sebagai polis dunia, namun dalam masa sama telah memindahkan kedutaan Amerika Syarikat di Israel ke Jerusalem, dan bersalaman dengan Putin dan Kim Jong Un. Inilah antara caca marba dasar pentadbiran Trump yang menggagalkan kempen pemilihan semulanya.

Dalam kempen pemilihan 2016 dan pemilihan semula 2020, selain mencabar status quo politik liberal dan global yang dakwanya telah menekan dan merompak Amerika, kunci lain kepada politik Trump turut difokuskan kepada ‘menyekat kemaraan politik kiri, sosialis, pro-komunis’ yang mengancam kebebasan Amerika.

Sekurang-kurangnya Trump tidak gagal memahami persepsi politik yang boleh dimainkan untuk mengheret sokongan rakyat kebanyakan.

Sepanjang kempen melawan Biden, Trump tidak pernah gagal untuk terus mengaitkan pesaingnya itu dengan politik kiri – menganggap Biden sebagai seorang pemimpin lemah yang secara senyap bakal tunduk kepada agenda-agenda kiri yang makin rancak berkembang dalam parti Demokrat.

Namun, serangan sebegini tidak berjaya. Biden adalah ahli politik veteran, yang selama 40 tahun di dalam dan luar kerajaan mempunyai jalur politik sendiri yang bertentangan dengan kem kiri progresif dalam Demokrat, mahupun kem liberal seperti yang diwakili Buttigieg.

Kekalahan Trump mungkin menjadi berita yang disambut baik oleh warga Amerika dan dunia, namun hakikat lainnya, politik konservatif masih akan terus mewarnai negara tersebut untuk masa mendatang. Trump mungkin kalah, namun Republikan sebagai sebuah parti masih memenangi undian terbanyak dalam pemilihan senator dan Dewan Perwakilannya.

Kekalahan Trump juga boleh jadi hanya sebuah kemenangan kecil buat politik progresif di sana. Rakyatnya paling tidak pun mungkin telah memilih untuk tidak lagi memberi peluang kedua buat Trump berdasarkan keresahan semasa, terutama kegagalan berhadapan pandemik Covid-19.

Kemenangan Biden pula hanya bermaksud Amerika kembali ke jalur tradisinya sebagai ekonomi pasaran bebas terbesar dunia, dan mungkin juga polis dunia.

 

*Adam Adli, bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.