Seorang suami tidak menyangka bahawa penyakit gangguan jiwa yang dialami isteri tersayang akan menjejaskan keharmonian rumah tangga dikecapi mereka selama ini.
Lebih memburukkan keadaan, isterinya itu sering kali mengugut mahu mencederakan diri sendiri setiap kali berlaku perselisihan faham atau pergaduhan di antara mereka.
Difahamkan, pergaduhan mereka berdua selalunya berpunca dari sikap sang isteri yang tidak mempercayai suaminya dan mencurigai lelaki itu curang di belakangnya.
Masalah itu sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah seperti berbincang dari hati ke hati namun wanita terbabit malah mengambil tindakan mengugut suaminya.
“Serabut gila kahwin dengan orang yang ada gangguan kesihatan mental ini. Apabila ada benda tak kena, mulalah nak ugut cederakan diri sendiri, nak mati dan serangan panik semua itu.
“Kemudian tiada angin tiada ribut, tiba-tiba minta cerai. Sebelum berkahwin, kami sudah jalinkan hubungan selama dua tahu. Jadi bahagian mana aku tak terima dia? Aku terima kekurangan dia sebab diri sendiri juga tidak sempurna.
“Tetapi aku rasa tak guna sebagai suami sebab isteri ugut nak cederakan diri sendiri setiap kali bergaduh. Selepas itu minta cerai. Aku kerja cari duit agar dia dapat hidup senang. Aku tak curang dan main perempuan,” katanya.
Perkongsian itu dibuat oleh suami terbabit tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Tiada niat mahu mengungkit kekurangan isterinya, lelaki berkenaan mengakui hanya mahu dilayan seperti suami biasa di luar sana apabila pulang dari tempat kerjanya.
“Kenapa kalau ada benda tak kena, isteri terus mengamuk sambil tuduh aku bukan-bukan? Wallahi aku tak pernah curang. Aku sudah cuba sedaya upaya yakinkan dia. Tetapi masih nak menangkan diri sendiri. Habis aku?
“Sudahlah setiap kali bergaduh, asyik nak cerai. Aku penat. Baru balik kerja, sudah kena hentam. Tak boleh ke sambut aku baik-baik, tanya sudah makan ke belum, nak urut ke? Ini kena hadap perangai dan buruk sangka dia sahaja.
“Habis aku, siapa nak faham? Sudah empat tahun bersama, tak akan masih lagi tak percaya? Maaf kalau ada yang terasa dengan luahan ini. Aku serabut gila. Sekarang pun tak masuk rumah lagi. Nak tidur mana pun tak tahu.” Luah sang suami.